Selepas melihat China mem­belasah Filipina 8-0 di venue sama beberapa jam sebelum turun ke padang, anak-anak buah Datuk Ong Kim Swee sedar hanya kemenangan ke atas Laos akan memberi keyakinan buat mereka sebelum berdepan China dalam aksi terakhir, Selasa ini.
Biarpun bergelut untuk menang, namun enam mata maksimum yang dikutip daripada dua perlawanan pastinya menaikkan moral pemain muda negara sebelum berdepan lawan yang sudah meledak 13 gol dan tidak dibolosi dalam dua perlawanan pertama mereka.
Hanya juara setiap kumpulan layak secara automatik ke pusingan akhir di Thailand tahun depan, itu bermakna Malaysia berpeluang muncul juara jika menewaskan China.
Bagaimanapun melihat kesukaran yang dihadapi untuk menjinakkan Laos, pasukan yang dibelasah 5-0 oleh China dalam perlawanan pembukaan, jelas Malaysia perlu memperbaiki kelemahan segera.
Dalam aksi hari ini, skuad negara dihidangkan peluang untuk menjaringkan gol bagaimanapun percubaan Akhyar Rashid pada minit ke-13 gagal disempurnakan.
Laos juga hampir mengejutkan Malaysia bagaimanapun rembatan Vannasone Douangmaity pada minit ke-36 dinafikan oleh palang gol.
Ketika permainan menuju rehat, penyerang negara, Faisal Abdul Halim berpeluang menja­ringkan gol namun remba­tannya gagal menerjah gawang meskipun penjaga gol Laos, Xaysavth sudah keluar ke depan.