Piala Airmarine: Zaquan Adha kecewa ‘Ekor’ boikot perlawanan, janji tetap tampil aksi terbaik
Kapten Harimau Malaya, Zaquan Adha melahirkan sedikit kekecewaan mengenai keputusan penyokong tegar skuad kebangsaan untuk memboikot perlawanan dalam kejohanan empat negara, Piala Airmarine. Namun beliau menanam tekad memimpin rakan sepasukan untuk menampilkan aksi terbaik bersama-sama pemain baharu.
Baginya, pemain-pemain baharu yang dipanggil oleh ketua jurulatih, Tan Cheng Hoe tidak menjadi masalah buat skuad Harimau Malaya mendapatkan keserasian memandangkan mereka ini mempunyai pengalaman dalam peringkat antarabangsa sebelum ini.
“Pemain baru yang ada bukanlah terlalu baru kerana ramai yang pernah beraksi untuk Malaysia sebelum ini. Jadi ianya bukan satu masalah buat kami. Tapi apa yang saya tekankan kepada semua pemain adalah kami perlu membuka lembaran baru. Apa yang berlaku pada tahun lalu terutamanya di Piala AFF perlu dilupakan dan kami perlu melakukan yang terbaik untuk 2019.”
Gandingan pemain baharu dan pemain sedia ada ketika kejohanan Piala AFF Suzuki 2018 akan diuji dalam pertembungan pertama Piala Airmarine menentang jiran tetangga, Singapura. Zaquan menegaskan, walaupun Singapura tidak menampilkan aksi yang memberangsangkan dalam kejohanan tahun lalu, fokus tetap akan diberikan sepenuhnya untuk menewaskan mereka seterusnya meningkatkan kedudukan ranking dunia bagi skuad kebangsaan.
“Kami tidak pandang rendah Singapura. Perlawanan di antara Malaysia dan Singapura sentiasa unik. Perlawanan ini juga penting untuk kami kumpul mata supaya tidak perlu bermain di pusingan kelayakan Piala Dunia.” tegasnya semasa sidang media sebentar tadi.
Mengenai boikot yang dilakukan oleh pihak Ultras Malaya, penyerang berusia 31 tahun ini melahirkan kekecewaan dan mengharapkan penyokong-penyokong lain yang datang untuk memberikan sokongan. bagaimanapun , itu bukan alasan buat beliau dan rakan-rakan tidak beraksi cemerlang di atas padang.
“Sudah tentu kami kecewa kerana pasukan perlukan sokongan dalam setiap perlawanan. Tetapi saya harap mana-mana penyokong yang hadir esok akan berikan sokongan padu kepada kami. Kami sedikit kecewa apabila dapat tahu mengenai perkara itu tetapi kami tetap akan berikan yang terbaik.” katanya lagi.
Foto Kredit: Khairul Nizam
Tiada ulasan:
Catat Ulasan