Featured post

📆 Jadual perlawanan CIMB Liga Super dan Liga Premier musim 2020!#LigaMalaysiaKembali#CIMBLigaSuper2020#LigaPremier2020

📆 Jadual perlawanan CIMB Liga Super dan Liga Premier musim 2020! Untuk download,  https:// https:/U/ we.tl/t-O8tyMSagYQ Anda bole...

Sabtu, 23 Mac 2019

Piala AIRMARINE: Impak Faiz Nasir Dan Hadin Azman Bantu Malaysia Raih Tempat Ketiga


Skuad Harimau Malaya bangkit menutup mulut pengkritik bola sepak tempatan apabila mempamerkan corak permainan yang lebih baik berbanding ketika menentang Singapura dua hari lalu dalam aksi penentuan tempat ketiga dan keempat Piala Airmarine menentang Afghanistan di Stadium Nasional Bukit Jalil sebentar tadi.

Jaringan sendiri daripada pemain pertahanan Afghanistan memastikan skuad negara tidak pulang dengan tangan kosong dan berjaya meraih tempat ketiga dalam edisi sulung penganjuran kejohanan empat penjuru itu.

FOTO: FAM
Separuh masa pertama
Dalam perlawanan ini, pengendali Harimau Malaya,  Tan Cheng Hoe melakukan perubahan taktikal dan rombakan pemain dengan memasukkan Rizal Ghazali  di posisi pertahanan kanan dan Halim Saari di bahagian tengah.
Malah, pemain Selangor, Faiz Nasir membuat penampilan pertama dengan skuad kebangsaan apabila diturunkan untuk memperkuatkan jentera tengah menggantikan tempat Azam Azih manakala Hadin Azman beraksi di posisi sayap kiri.
Sebaik sahaja wisel sepak mula ditiupkan, Malaysia tidak membuang masa untuk mengaturkan serangan ke kubu pertahanan lawan melalui gerakan berbahaya Mohamadou Sumareh di minit ke 7 namun hantaran beliau gagal disudahkan dengan baik oleh Norshahrul Idlan Talaha.
Tersentak dengan percubaan tersebut, Afghanistan melalui bekas pemain import Pahang, Faysal Shayesteh cuba menyelusup masuk dalam benteng pertahanan negara dan namun Irfan Zakaria beraksi cemerlang hari ini apabila berjaya mematahkan beberapa hantaran lawan.
Lima minit kemudian, skuad Harimau Malaya kembali mencemaskan benteng pertahanan Afghanistan melalui gerakan menarik Faiz Nasir, Syazwan Andik dan Sumareh sehingga memperolehi dua sepakan percuma yang tidak berjaya disempurnakan dengan baik.
Keadaan padang yang becak akibat hujan lebat jelas memberi kesukaran kepada kedua-dua pasukan untuk melakukan hantaran tepat kepada rakan mereka. Afghanistan bagaimanapun memanfaatkan situasi itu apabila berjaya menjaringkan gol pembukaan melalui rembatan cantik Faysal Shayesteh dari luar kotak penalti pada minit ke 31.
Jaringan tersebut ternyata tidak mematahkan semangat anak buah Tan Cheng Hoe untuk memburu gol penyamaan dan usaha mereka berhasil apabila Faiz Nasir melakukan teknik rembatan yang sama seperti Faysal Shayesteh untuk mengikat Afghanistan, 1-1.
Ia adalah jaringan yang cukup menarik dalam penampilan pertama pemain itu di pentas antarabangsa. Keputusan tersebut kekal sehingga tamat separuh masa pertama.
Separuh masa kedua
Babak kedua bermula dengan Malaysia terlebih dahulu mengawal dan mengatur serangan untuk memburu jaringan kedua. Skuad Harimau Malaya memperolehi dua peluang keemasan melalui Hadin Azman di minit ke 49 dan Faiz Nasir di minit ke 53 tetapi rembatan mereka tersasar.
Pihak lawan kemudian membuat serangan balas dan berjaya memasuki kawasan kotak penalti Malaysia sehingga Jabar Sharza dijatuhkan tetapi pengadil enggan memberikan sepakan penalti dan melayangkan kad kuning kepada pemain itu kerana melakukan protes.
FOTO: FAM
Enggan membenarkan kemenangan berpihak kepada Afghanistan, Malaysia kembali melakukan beberapa gerakan menarik melalui gandingan Hadin Azman, Norshahrul, Faiz Nasir dan Sumareh sehingga mengucar-kacirkan benteng pertahanan lawan.
Malangnya gol yang ditunggu-tunggukan tidak kunjung tiba apabila dua peluang keemasan gagal disudahkan oleh Norshahrul pada minit ke 60 dan 68 lalu menyebabkan Tan Cheng Hoe melakukan pertukaran pemain dengan memasukkan S. Kumahraan menggantikan Hadin Azman.
68' Mat Yo melepasi beberapa pemain sebelum berjaya membuat rembatan, namun agak melambung tinggi. Pergerakan yang baik!
See Team Malaysia's other Tweets
10 minit sebelum tamat perlawanan, Tan Cheng Hoe memilih untuk ‘tutup kedai’ apabila memasukkan pemain pertahanan kanan, Matthew Davies dan pemain tengah bertahan, Kenny Palraj menggantikan tempat Norshahrul dan Halim Saari.
Tuah memihak kepada skuad negara apabila pemain pertahanan lawan, Abassin Alikhil tertampan bola sehingga masuk ke gawang sendiri hasil hantaran daripada Matthew Davies. Gol itu memastikan skuad Harimau Malaya mendahului lawan dengan 2-1.
Afghanistan cuba bangkit mencari gol penyamaan namun ianya sudah terlambat dan beberapa pemain mereka kehilangan tenaga dan tidak mampu lagi memecahkan kekebalan benteng pertahanan negara yang dikawal oleh Khairul Fahmi Che Mat.
Kehadiran muka baharu seperti Faiz Nasir, Halim Saari serta Hadin Azman berjaya memberi impak yang positif dalam skuad kebangsaan dan banyak pilihan kepada Tan Cheng Hoe untuk membentuk barisan yang mantap bagi menghadapi kelayakan Piala Dunia tahun ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan