Ketua jurulatih Afghanistan, Anoush Dastgir nyata kurang berpuas hati dengan mutu pengadilan di Kejohanan Piala AIRMARINE 2019 selepas menyaksikan skuadnya tewas 1-2 kepada Malaysia dalam perlawanan penentuan tempat ke-3 dan ke-4, petang semalam.
Gol sendiri pertahanan, Abassin Alikhil di minit ke-84 membantu Malaysia menewaskan Afghanistan selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 menerusi jaringan Faysal Shayesteh dan Faiz Nasir.
“Saya berterima kasih kerana dijemput menyertai kejohanan ini oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM). Tetapi saya tidak gembira dengan permainan hari ini terutamanya pengadil.
“Saya faham ia aksi persahabatan, tetapi ia memberi tanggapan buruk apabila penalti yang sepatutnya diberikan, tidak diberikan,” jelas pengendali berusia 29 tahun itu dalam sidang media.
“Saya tidak gembira dengan keputusan pengadil. Jadi, saya terpaksa pulang dengan perasaan hampa,” tegasnya lagi.
Bercakap dalam sidang media, dia faham kerana pasukannya menentang tuan rumah, Malaysia, dan dia tidak mengatakan yang kekalahan ini adalah 100% berpunca daripada pengadil.
Juara Piala SAFF edisi 2013 itu tewas besar 0-5 dalam aksi pertama kepada Oman sebelum tewas 1-2 kepada Malaysia. Ketika ini, Afghanistan berada di kedudukan 147 dunia dalam Ranking FIFA.
Sementara itu, pengendali skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe mahu keputusan perlawanan ini menjadi pembakar semangat kepada pemainnya untuk menghadapi perlawanan akan datang.
“Hari ini pemain beraksi dengan lebih fokus dan keyakinan pada separuh masa kedua.
“Kami bermain dengan baik dan menguasai permainan dan perlu mengekalkan momentum untuk perlawanan akan datang,” ujarnya kepada pihak media ketika sidang media.
Kekalahan 0-1 kepada musuh rapat, Singapura dalam Derbi Seberang Tambak menjadi pendorong buat para pemain untuk memberikan aksi terbaik dalam perlawanan kedua ini.
“Ia adalah kemenangan penting buat kami…satu penaik semangat yang baik untuk kami. Selepas tewas kepada Singapura, pemain sedar mereka tidak bermain dengan baik dan memberikan aksi terbaik mereka kali ini,” ujarnya lagi.
Kejohanan yang julung kalinya diadakan ini telah menobatkan Oman selaku juara sulung selepas menewaskan Singapura 5-4 menerusi sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat dengan keputusan 1-1 sepanjang 90 minit perlawanan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan