AFC B-23
SHAH ALAM 22 Mac - Skuad Bawah 23 (B-23) China memberi amaran awal kepada semua pasukan dalam Kumpulan J Kelayakan Kejuaraan AFC B-23 apabila pasukan bimbingan Guus Hiddink itu menewaskan Laos 5-0 di Stadium Shah Alam, sebentar tadi.
Turun selaku pasukan pilihan menyaksikan China tidak berdepan masalah untuk menguasai permainan meskipun beraksi dalam cuaca panas.
Penyerang China, Yang Liyu meletakkan pasukannya di depan selepas menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-29.
Gol kedua China hadir menerusi rembatan Shan Huan Huan tiga minit sebelum rehat sebelum Liyu meledak gol kedua peribadinya pada masa tambahan babak pertama.
Bersambung babak kedua, anak-anak buah Hiddink terus menguasai permainan dan memiliki saiz fizikal yang lebih besar menjadi kelebihan kepada China apabila pemain Laos sukar untuk mendapatkan bola daripada mereka.
China hampir menambahkan jaringan bagaimanapun tandukan Liyu pada minit ke-77 gagal menemui sasaran.
Pemain gantian China, Lin Liangming meledak gol keempat pasukan setelah melepaskan rembatan dari jarak dekat ketika permainan memasuki masa tambahan.
Pemain tengah China, Cao Yongjing menambah duka Laos apabila meledak gol kelima pada minit terakhir permainan.
China akan menghadapi Filipina manakala Laos bertemu Malaysia di venue yang sama pada 24 Mac ini. - UTUSAN ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan