Cheng Hoe menjelaskan, semua pemain perlu mempunyai pemikiran yang positif bagi memastikan skuad negara mampu menewaskan pasukan dari negara jiran itu pada aksi pertama ini.
Bekas pengendali Kedah tersebut tidak mahu pemainnya terlalu tertekan dari segi mental dan fizikal bagi memastikan kelancaran strategi yang telah dirancang berdepan kejohanan yang buat julung kali diadakan itu.
“Apa yang penting adalah saya tidak mahu pemain ada gangguan dari segi mental dan fizikal kerana persediaan itu amat penting untuk berdepan Singapura nanti.
“Kita perlu kekalkan pemikiran positif kerana banyak kali saya ingatkan, kita tidak boleh emosional dalam perlawanan seperti itu kerana kita tidak mahu pemain kita dilayangkan kad kuning atau merah.
“Saya tekankan perkara ini kerana tidak mahu kelancaran pasukan terganggu ketika berdepan Singapura,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan di Bukit Jalil semalam.
Dalam pada itu, Cheng Hoe mengakui kemungkinan besar Nicholas Swirad tidak akan berada dalam kesebelasan utama ekoran kecederaan yang dihadapinya belum pulih sepenuhnya.
“Nicholas kemungkinan besar tidak beraksi dan berada dalam kesebelasan utama kerana agak sukar untuk pulih dalam waktu terdekat.
“Dia belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan pangkal paha serta belum pernah menjalani sesi latihan penuh bersama pasukan.
“Sementara itu, saya yakin Norshahrul Idlan Talaha yang demam panas dan Kenny Pallraj yang juga berdepan kecederaan akan pulih sepenuhnya menje­lang aksi pertama bertemu Singapura,” katanya.