KUALA LUMPUR: Ketua Jurulatih negara, Tan Cheng Hoe merasakan Harimau Malaya masih memerlukan tambahan pemain naturalisasi sebagai pelan terbaik meningkatkan kualiti permainan di pentas antarabangsa.
Bagaimanapun, perkara asas dalam pemilihan seseorang pemain naturalisasi adalah menjurus kepada kemampuan pemain berkenaan untuk menyesuaikan diri dengan perancangan pasukan dan paling penting adalah tidak bersikap besar kepala.
“Kita masih ada ramai pemain berbakat untuk masa depan dan paling penting kita perlu percayakan bakat yang mereka ada. Untuk jangka masa pendek, kemungkinan kita ambil pemain naturalisasi.
“Memang kalau (ada) naturalisasi, ia boleh membantu pasukan tetapi pemain itu perlu serasi dengan pasukan dan tunjukkan sikap yang baik kepada pemain lain. Mereka perlu jadi contoh kepada pemain lain terutamanya pemain muda.
“Terpulanglah kepada FAM. Tetapi untuk jangka masa panjang, kita perlukan pemain kita sendiri (tempatan),” katanya ketika ditemui selepas menewaskan Afghanistan di Piala Airmarine, kelmarin.
Selepas hanya menamatkan Piala Airmarine di tempat ketiga, di atas kertas Harimau Malaya dijangka terpaksa mengharungi playoff kelayakan Piala Dunia 2022.
Walaupun mungkin beraksi di playoff, Cheng Hoe kekal positif dan mahu pemain yang akan dipanggil nanti mengekalkan keinginan untuk bantu pasukan.
“Keseluruhannya, yang penting kita kena tahu corak permainan yang kita mahukan kerana setiap perlawanan adalah berbeza.
“Untuk playoff, ia mungkin dilangsungkan ketika puasa atau pun raya, Jadi saya harap pemain kekal fokus untuk menghadapi perlawanan itu,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan