PENYERANG Oman, Abdul Aziz Humaid Mubarak Al-Maqbali (dua kanan) cuba mendapatkan bola dari pemain Afghanistan, Kanischka Taher (kanan) pada perlawanan separuh akhir pasukan Oman menentang Afghanistan Piala Air Marine 2019 di Stadium Bukit Jalil, di sini, hari ini. - FAISOL MUSTAFA
KUALA LUMPUR 20 Mac- Oman menepati ramalan apabila mudah menundukkan Afganistan 5-0 untuk mengesahkan tempat di pentas final Piala Air Marine 2019 di Stadium Nasional Bukit Jalil, sebentar tadi.
Turun sebagai pasukan pilihan, Oman yang menduduki ranking ke-90 dunia itu tidak menunggu lama untuk membolosi gawang Afghanistan seawal minit kesembilan menerusi penyudah Ahmed Al Mahadri.
Skuad kendalian Erwin Koeman terus selesa di depan dengan menggandakan jaringan pada minit ke-26 hasil rembatan dalam kotak penalti menewaskan penjaga gol lawan, Oyays Azizi buat kali kedua.
Afghanistan yang berada di ranking ke-147 nyata bukan saingan apabila dibolosi buat kali ketiga menerusi ledakan Mohammed Al-Balushi di akhir babak pertama.
Bersambung babak kedua, meskipun selesa mendahului 3-0 namun Oman tidak mengendurkan serangan sebaliknya mereka terus memberi tekanan kepada pertahanan Afghanistan dan usaha itu berjaya menghasilkan gol keempat pada minit ke-49 hasil jaringan Aziz Al-Maqbali.
Pemain gantian, Musalam Akaak tidak melepaskan peluang untuk mencetak nama sebagai penjaring untuk mengesahkan kemenangan besar 5-0 ke atas Afghanistan dalam aksi pembukaan Piala Air Marine 2019.
Oman bakal menanti pemenang antara Malaysia dan Singapura yang akan bermain pada pukul 8.45 malam ini di venue sama di pentas final. - UTUSAN ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan