HODAK (kiri) menyalahkan sistem bola sepak negara ekoran kegagalan pasukannya mara ke suku akhir Piala Sanix 2019 di Fukuoka, Jepun pertengahan bulan ini.
KEDUDUKAN ketua jurulatih skuad bawah 18 tahun (B-18) kebangsaan, Bojan Hodak akan ditentukan selepas mesyuarat persediaan pasukan kebangsaan bulan depan.
Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam berkata, jawatankuasa pasukan kebangsaan akan bermesyuarat pada 17 April ini selepas undian perlawanan AFC yang mana akan turut menyentuh mengenai kedudukan Hodak
Beliau berkata, status mengenai kontrak Hodak tidak pernah dibincangkan dalam mana-mana mesyuarat teknikal atau kebangsaan setakat ini sama ada akan dikekalkan atau sebaliknya.
“Setakat ini belum masuk mana-mana mesyuarat teknikal pasukan kebangsaan.
“Bila ada topik ini dalam jawatankuasa tertentu, saya akan update (maklumkan), tetapi setakat ini belum ada,” katanya kepada pemberita semalam.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mesyuarat jawatankuasa eksekutif FAM kali ketujuh bagi penggal 2017-2021 di George Town yang turut dihadiri Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin dan Timbalan Presiden, Datuk Seri Subahan Kamal dan Datuk Mohd. Yusoff Mahadi.
Hodak sebelum ini mencetuskan kontroversi selepas menyalahkan sistem bola sepak negara sebagai punca kegagalan pasukannya mara ke suku akhir Piala Sanix 2019 di Fukuoka, Jepun pertengahan bulan ini.
Beliau menyifatkan kelewatan pemain negara mula berlatih secara serius, selain kekurangan pendedahan perlawanan kompetitif di peringkat antarabangsa menjejaskan kualiti pasukannya sehingga gagal mara ke peringkat suku akhir.
Ekoran daripada kenyataan tersebut, Hodak diarah mengemukakan surat tunjuk sebab oleh FAM.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan