KUALA TERENGGANU: Ketika rakan lain sudah menerima tunggakan gaji, dua pemain Terengganu City FC (TCFC) - Khairul Ramadhan Zauwawi dan Muslim Yusof - masih melopong kerana belum menerima hak mereka.
Malah, mereka mempertikaikan janji Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang memberi jaminan untuk mengkreditkan tunggakan itu ke akaun pemain pada 7 Mac lalu.
“Mana hak kami? Bila lagi nak bayar pitis (wang) kami? Kami memerlukan pitis bagi meneruskan kelangsungan hidup, jangan buat kami menderita sebegini, kesabaran kami juga ada hadnya.
"Sudah lebih dua minggu janji tidak ditepati, kami bagaikan hilang sabar, kami tidak dengki apabila ada sebahagian daripada rakan sudah dapat habuan selama dua bulan gaji pada awal Mac lalu.
"Lebih menyedihkan, hampir setiap hari kami ke mesin ATM (mesin pengeluaran wang automatik) untuk membuat semakan namun akhirnya pulang hampa selain terpaksa berbaris panjang,” kata Khairul Ramadhan.
Bekas pemain terbaik final Piala FAM 2018 itu yang mewakili rakannya juga kesal kerana masih tidak dapat merasai wang kemenangan selepas muncul juara Liga FAM musim lalu.
"Kami nak tanya FAM berapa lama lagi harus kami tunggu? Sebagai badan induk bola sepak negara beri tarikh kepada kami agar kami tidak ternanti-nanti kerana FAM sudah berjanji sebelum ini.
"Apabila FAM senyap tanpa sebarang berita, kami makin gelisah, lebih risau dan bimbang jika wang kemenangan juara Piala FAM tahun lalu itu sudah lesap atau tidak diagihkan sebetulnya menyebabkan kami menjadi mangsa.
"Justeru kami rayu FAM bayar segera duit kemenangan itu kepada sebahagian lagi pemain yang belum dapat kerana kami amat memerlukannya," ujar Ramadhan yang sedih mengenangkan nasib mereka yang bagaikan teraniaya.
Muslim juga hairan serta bengang kerana sehingga kini dia juga belum menerima sebarang bayaran sama ada tunggakan gaji atau pun wang kemenangan menjuarai Piala FAM itu.
"Saya hairan FAM maklum sudah masuk, tapi belum lagi, hanya sebahagian pemain saja dapat, saya dimaklumkan perlu buat aduan kepada FAM terlebih dahulu baharu dapat tunggakan atau wang kemenangan itu, namun peliknya kami sudah muncul juara Piala FAM jadi memang semua pemain tahun lalu patut menerima ganjaran itu.
"Tapi sehingga kini, kami belum dapat apa yang dijanjikan. Bagi saya, ia tidak adil dan munasabah serta salah... sebab duit juara memang untuk pemain 2018 yang sudah bertungkus lumus bermain sehingga bergelar juara," ujar Muslim.
Difahamkan hanya 10 bekas pemain TCFC musim lalu dan enam barisan kejurulatihan serta pegawai sudah mendapat bayaran pada 9 Mac lalu yang dibayar melalui akaun masing-masing, selebihnya iaitu 20 lagi bekas pemain skuad itu masih menagih janji FAM.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan