Terdahulu, skuad B-22 China tidak berdepan sebarang masalah untuk membenamkan cabaran Laos dengan keputusan 5-0 sebelum berpesta gol membelasah Filipina 8-0 kelmarin.
Di sebalik prestasi luas biasa China itu, Hiddink bagaimanapun menjelaskan, ujian sebenar para pemainnya adalah berdepan pasukan tuan rumah selain berdasarkan pemerhatiannya terhadap corak permainan Malaysia.
“Sebelum ini, saya pernah melihat Malaysia bermain ketika berdepan Korea Selatan serta Arab Saudi dan mereka mendapat keputusan yang baik tahun lalu.
“Ia menunjukkan Malaysia boleh bermain di pentas yang lebih tinggi memandangkan mereka mempunyai pemain berkemahiran serta berkualiti tinggi.
“Saya percaya ia akan menjadi perlawanan yang sukar dan merupakan ujian sebenar buat China,” katanya selepas perlawanan menentang Filipina kelmarin.
Pada masa sama, bekas pengurus Chelsea tersebut tetap yakin dengan kemampuan yang ada pada semua pemainnya apabila masing-masing telah me­nunjukkan peningkatan dalam setiap perlawanan.
“Ketika bertemu Filipina, saya telah merehatkan beberapa pemain bagi memastikan mereka cergas untuk berdepan Malaysia.
“Namun, apa yang menyebabkan saya berpuas hati dengan para pemain China adalah sama ada dalam kesebelasan utama atau di bangku simpanan, mereka mempunyai tahap serta kualiti setara.
“Justeru, saya tidak risau untuk menukar mana-mana pemain pada aksi menentang Malaysia malam ini kerana mereka semua mampu beraksi pada tahap dan prestasi yang sama,” katanya.