KUALA LUMPUR 27 Mac – Ketua Jurulatih skuad Bawah 23 (B-23) China, Guus Hiddink percaya, Malaysia menunjukkan kualiti tinggi ketika mengikat pasukannya 2-2 di Stadium Shah Alam, semalam.
Katanya, kedua-dua pasukan menyajikan persembahan berintensiti tinggi, dan China bernasib baik berjaya meraih tiket ke pusingan akhir di Bangkok selaku juara kumpulan.
“Kita menyaksikan satu perlawanan berintensiti tinggi, kedua-dua pasukan mahu mencari kemenangan dan bukan seri.
“Kedua-dua pasukan juga menunjukkan permainan pantas, corak perlawanan menyerang. Ia cukup bagus melihat pemain muda beraksi seperti ini.
“Malaysia ada pemain yang berkemahiran tinggi dan sudah tentu ini aksi yang sukar buat kami, namun dua tandukan berjaya menyelamatkan keadaan dan saya bangga dengan pemain.
“Saya fikir kedua-dua pasukan layak ke pusingan akhir dan perlawanan seimbang.
“Saya tidak kata begini (memuji Malaysia) kerana saya berada di sini ketika ini.
“Saya cakap kerana Malaysia memang mempunyai kualiti.
“Saya sebenarnya benar-benar berharap mereka dapat layak selaku empat naib juara terbaik kerana mereka berhak,” kata bekas jurulatih Belanda, Rusia, Korea Selatan, Australia, Real Madrid, Chelsea dan Real Betis itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan