Luqman Hakim terpilih dalam kesebelasan pemain terbaik di Kejohanan Bola Sepak Piala Sanix 2019 yang berakhir semalam.
PENJARING terbanyak Kejohanan AFC Bawah 16 tahun 2018, Luqman Hakim Shamsudin mencatat sejarah tersendiri apabila pemain Bawah 18 Tahun negara itu terpilih dalam kesebelasan terbaik Kejohanan Bola Sepak Piala Sanix 2019 yang berakhir semalam,
Ini kali pertama pemain dari Malaysia menerima anugerah tersebut dalam kejohanan tahunan yang berlangsung di Global Arena, Fukuoka, Jepun.
Menurut Pengarah Urusan Yakult (M) Sdn. Bhd., Hiroshi Hamada, pemilihan Luqman Hakim dilakukan berdasarkan undian daripada ketua-ketua jurulatih setiap pasukan yang melihat pemain ini memiliki kualiti dalam segi kepantasan serta kemahiran mengendalikan bola di atas padang.
“Sebagai penaja kepada pasukan Malaysia dalam pertandingan ini, saya merasa gembira dengan pemilihan Luqman Hakim dalam kesebelasan utama terbaik kali ini. Saya juga amat gembira dengan prestasi pasukan negara kita yang meningkat sedikit berbanding tahun lepas.
“Saingan pada tahun ini juga amat mencabar dengan penglibatan ramai pemain kebangsaan Jepun serta kelab-kelab yang terbaik seperti Kashima Antlers dan Aomori Yamada,” jelas Hamada semalam.
Sementara itu, Luqman Hakim yang ditemui media nyata gembira dengan pemilihannya dalam senarai kesebelasan terbaik Piala Sanix 2019 sambil menyifatkannya sebagai satu suntikan motivasi bagi dirinya berusaha lebih gigih untuk menjadi pemain yang terbaik.
“Alhamdulillah, saya bersyukur dengan kejayaan ini. Kami telah berusaha sehabis baik dalam kejohanan ini. Pengalaman bermain di sini sangat berharga kerana kami berlawan dengan kelab-kelab terbaik di Jepun.
“Ini kali kedua saya menerima pengiktirafan sepanjang karier saya yang mana sebelum ini dinobatkan sebagai penjaring terbanyak untuk AFC U16. Anugerah ini akan menyuntik lagi semangat saya untuk berusaha dengan lebih gigih lagi supaya dapat menjadi pemain yang berjaya,” kata Luqman Hakim.
Pemain berusia 17 tahun dari Kelantan itu juga bersedia ‘mengubah angin’ ke luar negara sekiranya mendapat tawaran daripada mana-mana kelab yang berminat.
“Saya akan terus fokus dengan karier saya, namun jika ada pasukan luar berminat mendapatkan khidmat saya, saya akan terima dan cuba yang terbaik kerana sudah menjadi cita-cita saya untuk bermain di luar negara bagi meningkatkan lagi prestasi dan perbaiki diri saya sendiri,” ujarnya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan