Keputusan itu menyaksikan skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee itu terpaksa berpuas hati dengan status naib juara Kumpulan J sekali gus mengharapkan keajaiban untuk muncul lima pasukan terbaik naib juara daripada 10 kumpulan yang akan diketahui esok.
Pada perlawanan penuh dramatik itu, skuad muda Harimau Malaya mengejutkan pasukan pelawat yang dilihat tertekan beraksi dihadapan hampir 30,000 penyokong apabila pemain pertahanan, Zhu Chen Jie tertampan masuk bola ke gawang sendiri hasil rembatan Syahmi Safari pada minit ke-11.
Tersentak dengan itu, China mengukuhkan jentera serangan dan skuad bimbingan Guus Hiddink itu tidak menunggu lama untuk menyamakan kedudukan hasil tandukan penyerang, Zhang Yuning berselang lima minit kemudian.
Gol kemenangan Malaysia berjaya diraih menerusi rembatan pemain tengah, Danial Haqim Draman yang memerangkan kelekaan barisan pertahanan China susulan sepakan penjuru yang diambil oleh Nik Akif Syahiran pada minit ke-55.
Tuah nyata tidak memihak kepada skuad muda negara apabila China sekali lagi bangkit untuk menyamakan kedudukan hasil rembatan Jiang Sheng Long pada minit ke-82 dan keputusan 2-2 kekal sehingga tamat perlawanan.
Sebagai rekod, Kim Swee sebelum ini telah berjaya membawa skuad B-22 negara mara ke pusingan suku akhir pada Kejuaraan AFC B-23 edisi 2018 sebelum tewas kepada Korea Selatan 2-1. - K! ONLINE