Gambar hiasan
GEORGE TOWN - Keputusan sama ada untuk melaksanakan kenaikan maksimum 20 peratus harga tiket penyokong pasukan pelawat bergantung kepada negeri masing-masing, kata Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi.
Mohd. Yusoff yang juga Ahli Lembaga Pengarah Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) berkata, kenaikan maksimum 20 peratus itu adalah sebagai penanda aras kepada negeri-negeri yang akan melaksanakannya.
"Terpulang kepada negeri masing-masing jika mahu kenakan atau tidak. Dengan adanya penanda aras ini, pasukan tuan rumah tidak boleh sesuka hati meletakkan harga melebihi paras yang ditetapkan," katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM kali ke-7 bagi penggal 2017-2021 di sini hari ini.
Ahli Lembaga Pengarah MFL, yang bersidang pada 15 Mac lalu, membenarkan kenaikan maksimum 20 peratus harga tiket penyokong pasukan pelawat selepas MFL menetapkan peraturan kepada pasukan tuan rumah untuk memperuntukkan sejumlah tiket minimum kepada penyokong pasukan pelawat.
Berdasarkan peraturan itu, pasukan tuan rumah wajib memperuntukkan minimum 300 keping tiket bagi stadium dengan kapasiti di bawah 20,000 tempat duduk, 500 tiket (kapasiti antara 20,000 sehingga 40,000) dan peruntukan minimum 1,000 keping tiket bagi stadium dengan kapasiti lebih daripada 40,000 tempat duduk. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan