PEMAIN Malaysia, Mohd. Zaquan Adha Abdul Razak (duduk) dan Mohamadou Sumareh kecewa selepas Harimau Malaya tewas kepada Singapura dalam Piala Air Marine di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam ini. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
KUALA LUMPUR 20 Mac - Sudahlah beraksi dalam stadium hampir kosong, Harimau Malaya yang menetapkan sasaran muncul juara sebaliknya hampa dikalahkan 0-1 oleh Singapura pada aksi pembukaan Piala Air Marine, sebentar tadi.
Kelincahan pemain sayap lincah, Faris Ramli menghukum pasukan negara apabila dia menewaskan dua pertahanan tuan rumah, Shahrul Saad dan Mathew Davies sebelum merembat bola melepasi penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat untuk gol tunggal kemenangan Singapura pada minit ke-82.
Kekalahan ini pasti mengecewakan Malaysia yang berharap untuk mencari kemenangan bagi memperbaiki ranking dunia, apatah lagi anak-anak buah Tan Cheng Hoe berpeluang merubah keputusan jika menyudahkan empat atau lima peluang terbaik yang diperoleh pada babak kedua.
Ketiadaan Ultras Malaya menyebabkan keadaan agak lengang di Stadium Nasional, Bukit Jalil apabila hanya sekitar 3,000 hingga 4,000 hadir menonton perlawanan dalam venue yang mampu menampung 90,000 penonton.
Malaysia kini terpaksa berpuas hati bertemu Afghanistan dalam penentuan tempat ketiga/keempat, Sabtu ini manakala Singapura menentang Oman dalam penentuan juara.
Oman terdahulu membelasah Afghanistan 5-0. - UTUSAN ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan