SETIAUSAHA Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam (kanan) kepada pemberita selepas mesyuarat jawatankuasa eksekutif FAM kali ketujuh bagi penggal 2017-2021 di Bayan Lepas, Pulau Pinang hari ini. - UTUSAN ONLINE
PULAU PINANG 30 Mac - Kedudukan ketua jurulatih skuad bawah 18 tahun (B-18) negara, Bojan Hodak akan ditentukan selepas mesyuarat persediaan pasukan kebangsaan bulan depan.
Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam berkata, ahli jawatankuasa pasukan kebangsaan akan bermesyuarat pada 17 April ini sebaik sahaja undian perlawanan AFC diumumkan yang mana akan turut menyentuh mengenai kedudukan Hodak.
Menurut beliau, buat masa ini, status mengenai kontrak Hodak tidak pernah dibincangkan dalam mesyuarat teknikal atau kebangsaan sama ada akan dikekalkan atau sebaliknya.
“Kita akan memaklumkan status terkini kedudukan beliau sekiranya ada dibincangkan dalam mesyuarat jawatankuasa tertentu sebelum mesyuarat persediaan pasukan kebangsaan 17 April ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mesyuarat jawatankuasa eksekutif FAM kali ketujuh bagi penggal 2017-2021 di sini hari ini yang turut dihadiri Timbalan Presiden FAM, Datuk Seri Subahan Kamal.
Hodak sebelum ini mencetuskan kontroversi selepas menyalahkan sistem bola sepak negara sebagai punca kegagalan pasukannya mara ke suku akhir Piala Sanix 2019 di Fukuoka, Jepun pertengahan bulan ini.
Beliau menyifatkan kelewatan pemain negara mula berlatih secara serius selain kekurangan pendedahan perlawanan kompetitif di peringkat antarabangsa menjejaskan kualiti pasukannya sehingga gagal mara ke peringkat suku akhir.
Dalam cabaran itu, skuad Hodak tewas dalam tiga perlawanan awal bermula dengan kekalahan 2-0 kepada Sekolah Tinggi Aomori Yamada, diikuti 5-0 di tangan Sagan Tuso sebelum tunduk 1-0 kepada Sekolah Tinggi Otsu.
Dalam perkembangan berkaitan, menyentuh mengenai nasib seorang lagi jurulatih negara, Datuk Ong Kim Swee, Subahan berkata, jurulatih berkenaan perlu diberi lebih masa untuk membuktikan kemampuan membimbing skuad bola sepak Bawah 22 (B-22) negara.
Menurut beliau, meskipun skuad bimbingan Kim Swee gagal melayakkan diri ke pusingan akhir Kejuaraan AFC B-23, namun FAM tetap berbangga dengan keseluruhan persembahan dan mutu permainan yang ditunjukkan pemain negara.
“Kita tidak berasakan kempen skuda B-23 dalam saingan AFC baru-baru ini sebagai gagal, kerana pemain kita tampil begitu positif termasuk tidak takut ketika berdepan China yang boleh dianggap pasukan hebat di Asia.
“Kita melihat pasukan ini mampu pergi lebih jauh apatah lagi kebanyakan mereka merupakan bakat muda antara 19 hingga 20 tahun yang pastinya boleh diserap dalam pasukan kebangsaan kelak,” katanya. - UTUSAN ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan