PETALING JAYA: Pengendali bawah 23 (B-23) tahun China, Guus Hiddink mengakui cuaca panas bukan masalah besar buat anak buahnya menjelang aksi menentang Laos pada pusingan kelayakan Kejuaraan AFC di Stadium Shah Alam, esok.
Bagaimanapun, dia enggan pasukannya dilabel selaku pilihan untuk menjuarai saingan Kumpulan J itu.
"Semua pasukan bersiap sedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan termasuk cuaca panas. Semua pasukan akan hadapi masalah sama.
"Saya tidak fikir China adalah pasukan pilihan kerana sejak saya kendalikan pasukan September lalu, keputusan yang kami dapat begitu mengecewakan.
“Jadi tiada sebarang alasan untuk mengatakan kami adalah pasukan pilihan," katanya pada sidang media praperlawanan, hari ini.
Pada aksi tahun lalu, China yang beraksi di gelanggang sendiri gagal melepasi peringkat kumpulan, sekadar menamatkan saingan di kedudukan ketiga Kumpulan A.
Walaupun hadir selaku jurulatih berprofil tinggi yang pernah mengetuai beberapa pasukan besar di Eropah, Hiddink terpaksa akui yang pemainnya mungkin tidak cergas sepenuhnya kerana kekurangan masa bermain ketika bersama kelab masing-masing.
"Tetapi masalah utama kami adalah 80 hingga 90 peratus daripada skuad ini tidak memiliki masa permainan yang cukup. Kamu lihat berapa lama mereka bermain? Itulah kerisauan utama untuk China.
"Mungkin dua atau tiga pemain yang ada masa permainan yang cukup ketika bersama kelab. Jurulatih kebangsaan hanya bersama mereka dalam tempoh singkat. Jika mereka tidak ada masa yang cukup, mereka mungkin sukar untuk berkembang," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan