Walaupun skuad bawah 23 tahun (B-23) China mencatat kemenangan bergaya ke atas Laos, 5-0 pada aksi pembukaan kempen kelayakan AFC B-23 semalam namun permukaan padang di venue perlawanan iaitu Stadium Shah Alam mengundang kritikan pengendali terkemuka skuad itu, Guus Hiddink.
Jurulatih berpengalaman yang pernah membawa Korea Selatan melangkah ke separuh akhir Piala Dunia 2002 itu mengakui para pemainnya berdepan cabaran untuk membiasakan diri dengan cuaca panas dan keadaan padang yang kurang memuaskan.
“Sudah tentu saya gembira dengan kemenangan 5-0. Beraksi dalam cuaca panas dan kelembapan suhu yang tinggi, malah, keadaan permukaan padang yang tidak begitu rata menjadi cabaran untuk kami.
“Segala perancangan serta penekanan yang diberikan dalam sesi latihan berjalan dengan baik apabila pemain mampu mendapatkan gol sehingga penghujung perlawanan. Kami melakukan persiapan kurang dari sebulan dan keseluruhannya saya berpuas hati dengan pemain,” katanya seperti dipetik dalam utusan malaysia.
Dua gol daripada Yang Liyu serta masing-masing satu daripada Shan Huanhuan, Lin Lianming dan Cao Yongjing sudah cukup untuk China memenuhi reputasi selaku pilihan utama Kumpulan G.
Jurang ketara dapat disaksikan dalam babak pertama dan ia dimanfaatkan Liyu untuk membuka tirai jaringan menerusi sepakan penalti pada setengah jam pertama perlawanan selepas bola terkena tangan pertahanan Laos.
Berselang 12 minit, giliran Huanhuan mencetak nama selaku penjaring dengan memanfaatkan bola yang gagal ditangkap kemas penjaga gol Laos, Keo Oudone Souvannasangso, sebelum Liyu menamatkan separuh masa pertama dengan kelebihan 3-0 buat China.
Laos, yang dibimbing bekas ketua jurulatih Singapura, V. Sundramoorthy, lebih memilih untuk bertahan sepanjang babak kedua dan situasi itu menyukarkan China untuk menambah jaringan.
Bagaimanapun, skuad kendalian Guus Hiddink itu memanfaatkan kealpaan lawan waktu kecederaan untuk menyumbat dua lagi gol menerusi Lianming dan Yongjing.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan