
TALIAN hayat yang diharapkan daripada skuad Bawah 23 Tahun Filipina untuk skuad Datuk Ong Kim Swee tidak kesampaian apabila Laos mencatat kemenangan 3-2 dalam aksi terakhir perlawanan Kumpulan J di Stadium Shah Alam hari ini.
Jika Filipina mencatat kemenangan setidak-tidaknya pasukan berkenaan menduduki tempat ketiga dan rekod pertemuan antara skuad B23 tahun negara sebelum ini bersama pasukan berkenaan bakal diambil kira.
Sebelum ini pasukan bimbingan Kim Swee berjaya mencatat kemenangan 3-0 ketika menentang Filipina, manakala berdepan Laos pula mereka hanya meraih kemenangan tipis 1-0.
Ini menyaksikan Filipina menjadi pasukan terakhir dalam Kumpulan J dan setiap rekod pertemuan dengan negara terbawah setiap kumpulan tidak akan diambil kira untuk dijadikan sebagai bekalan memburu empat atau lima pasukan terbaik bagi mencari slot ke Kejohanan AFC B-23 2020 di Thailand.
Bagaimanapun, jika Malaysia mencatat kemenangan dengan China malam ini, aksi Filipina dan Laos tidak perlu diambil kira kerana bakal layak secara automatik selaku juara kumpulan.
Dalam aksi sebentar tadi Filipina dilihat hampir meraih kemenangan sulung mereka apabila mendahului 2-0 pada separuh masa pertama.
Pasukan bimbingan Salvacion Bayoneta, mendahului pada minit ke-10 menerusi Javier Gayoso dan dia juga meledak gol kedua hasil sepakan penalti 23 minit kemudian.
Sebaik bersambung babak kedua, Laos mula mempamerkan kebangkitan dan berjaya merapatkan jurang pada minit ke 73 menerusi jaringan pemain gantian, Chitpasong Latthachack.
Gol penyamaan mereka pula hadir menerusi Vannasone Douangmaity pada minit ke-87 dan ketika perlawanan seakan hampir berkesudahan dengan keputusan seri, skuad bimbingan V Sundram Moorthy itu memperoleh gol kemenangan di masa kecederaan.
"Sejujurnya kami gagal bermula dengan bagus dan Filipina pula menukar formasi. Bagaimanapun, permainan kami berubah dan saya bangga pemain berjaya memperoleh dua gol untuk mencatat kemenangan," kata Sundrm Moorthy.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan