
PENGARAH Teknikal FAM, Peter De Roo.
KUALA LUMPUR: Kegagalan skuad bawah 23 (B-23) tahun menjayakan misi ke Sukan Olimpik 2020 tidak bermakna Peta Hala Tuju Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) atau F:30 yang dilancarkan pada November lalu sudah boleh dianggap gagal sepenuhnya.
Sebaliknya Pengarah Teknikal FAM, Peter De Roo menjelaskan F:30 adalah peta hala tuju jangka panjang dari tahun 2019 hingga 2030 dengan beberapa misi lain lagi masih perlu difokuskan.
"Biarpun misi layak ke Sukan Olimpik 2020 terkandung dalam F:30, persembahan pasukan negara dan kemajuan atas padang yang jelas dilihat, kita tidak boleh terus menganggap bahawa F:30 sudah gagal kerana ia adalah peta hala tuju jangka panjang,” kat De Roo.
"FAM akan memastikan perancangan atau persiapan lebih teliti dan rapi bagi memastikan skuad muda negara selepas ini akan lebih mantap bagi menghadapi saingan kelayakan Kejuaraan B-23 AFC 2024 untuk kita meneruskan pula misi layak ke Sukan Olimpik berikutnya di Paris, Perancis pada tahun 2024."
BH Sukan semalam melaporkan FAM ada empat lagi misi untuk skuad bola sepak lelaki dan satu misi untuk skuad wanita yang terkandung dalam F:30 perlu dijayakan selepas misi layak Olimpik Tokyo 2020 terkubur susulan skuad B-23 gagal mara ke pusingan akhir Kejohanan B-23 AFC, tahun depan.
Antara misi lain yang terkandung dalam F:30 termasuk pasukan senior Harimau Malaya layak ke Piala Asia 2023 dan skuad B-19 layak ke Piala Dunia B-20, tahun 2023.
Skuad B-17 pula disasarkan untuk layak ke Piala Dunia B-17 pada tahun 2021 selain skuad B-15 pula perlu memenangi Kejuaraan AFF B-15 yang akan dilangsungkan pada tahun 2021.
Selain itu, De Roo turut berharap tiada lagi pihak bertindak memperlekehkan prestasi skuad B-23 atau FAM kerana kegagalan layak ke pusingan akhir Kejohanan AFC di Bangkok.
"Mereka jelas sekali bukanlah individu yang tahu tentang bola sepak dan langsung tidak mengikuti perkembangan pasukan sepanjang kempen kelayakan kali ini.
"Seperti mana yang dilaporkan oleh media, faktor format kelayakan juga memainkan peranan apabila penarikan diri Pakistan pada saat akhir menjadikan perkiraan untuk empat pasukan tempat kedua terbaik menjadi lebih rumit.
"Justeru, kita tidak harus terus meratapi kegagalan ini, sebaliknya perlu berminda positif dan segera memandang ke hadapan dan fokus untuk mempersiapkan pasukan muda negara ini bagi menghadapi Sukan SEA 2019 di Filipina, hujung November depan," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan