Isu keperlukan menambah pemain naturalisasi dalam skuad kebangsaan antara agenda yang akan dibangkitkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM kali ketujuh di Pulau Pinang hari ini.
Cheng Hoe sebelum ini me­ngakui, penambahan beberapa pemain naturalisasi berkualiti akan menguatkan pasukan negara untuk menghadapi playoff kelayakan Piala Dunia 2022, Jun ini.
FAM ketika ini sedang mempertimbangkan beberapa nama pemain asing yang layak diberikan peluang mewakili Malaysia selepas memberi tiket naturalisasi pertama kepada Mohamadou Sumareh, tahun lalu.
“Ya...berkenaan hasrat untuk mendaftarkan pemain naturalisasi baharu, ia akan di­bincang dalam mesyuarat esok dan sebarang keputusan perlu mendapat persetujuan semua ahli Exco.
“Selepas itu kita akan maklumkan apa hasil rundingan. Buat masa ini, itu sahaja saya dapat saya beritahu,” kata Timbalan Presiden FAM, Datuk Yusoff Mahadi kepada Utusan Malaysia.
Tiga pemain yang mewarnai Liga Malaysia ketika ini, Liridon Krasniqi (Albania, Melaka Uni­ted), Lee Tuck (England, Terengganu) dan Guilherme de Paula (Brazil, Kuala Lumpur) pernah menyuarakan minat untuk menjarung jersi Harimau Malaya.
Ketiga-tiga­nya menunjukkan ­prestasi baik bersama pasukan masing-masing.
“Seperti saya kata sebelum ini, siapa sahaja pemain luar yang bermain di liga tempatan boleh menyatakan hasrat untuk mewakili negara dan bagi saya ini perkembangan yang baik untuk bola sepak Malaysia,” ujarnya.
Kata Yusoff lagi, mesyuarat esok juga dijangka membincangkan mengenai prestasi fasa pertama Peta Hala Tuju FAM atau F:30.
Salah satu agenda F:30 iaitu layak ke Sukan Olimpik 2020 mengalami kegagalan selepas Malaysia gagal melayakkan diri ke Kejuaraan Asia bawah 23 2020.