MFL
KUALA LUMPUR 29 Mac - Bermula musim ini, mana-mana pasukan Liga Super dibenarkan menggunakan lima pemain import ketika berdepan lawan dari liga sama menerusi format baharu yang diperkenalkan Liga Bola Sepak (MFL).
MFL dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, pasukan Liga Super, bagaimanapun, hanya dibenarkan menggunakan empat pemain import manakala seorang lagi pemain import diletakkan di bangku simpanan ketika mereka berdepan pasukan dari Liga Premier atau Liga M3 pada musim ini.
Pentadbir Liga Malaysia itu memaklumkan pasukan Liga Premier dibenarkan menyenaraikan empat pemain import manakala pasukan amatur Liga M3 dibenarkan menggunakan dua pemain import ketika mereka berdepan sesama sendiri.
Keputusan berkenaan, jelas MFL, dicapai pada Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah MFL yang bersidang pada 15 Mac lepas yang bersetuju meminda peraturan pemain asing melibatkan pertemuan pasukan Liga Super, Liga Premier dan Liga M3 dalam kejohanan berformatkan piala pada musim 2019.
Untuk rekod, MFL sebelum ini hanya membenarkan empat pemain import sahaja digunakan ketika pasukan Liga Super bertemu wakil divisyen sama, mahupun bertemu skuad dari Liga Premier dalam kejohanan berformatkan piala seperti Piala Malaysia, Piala FA atau Piala Sumbangsih.
Dalam perkembangan berasingan, MFL memaklumkan Ahli Lembaga Pengarah bersetuju mengubah peraturan sedia ada, dengan dua slot pasukan Liga M3 untuk dinaikkan ke Liga Premier akan ditentukan menerusi perlawanan kalah mati.
MFL menjelaskan menerusi peraturan berkenaan, pasukan yang berada di tangga ke-11 Liga Premier akan menentang juara Piala FAM, manakala pasukan tangga ke-12 Liga Premier akan bertemu juara Liga M3 bagi mengisi dua slot ke Liga Premier.
Bagaimanapun, syarat untuk dinaikkan ke Liga Premier turut mengambil kira status pasukan tersebut sama ada benar-benar layak daripada sudut kewangan, pengurusan dan sebagainya sebelum bermulanya saingan kalah mati, kata MFL.- BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan