PENYOKONG Malaysia diberi layanan baik oleh peminat tuan rumah.
KUALA LUMPUR 5 Dis. - Lebih 1,000 Ultras Malaya yang berada di Stadium Rajamangala, Bangkok teruja kerana dapat menyanyi dan bersorak dengan tenang sepanjang separuh akhir kedua Piala AFF berlangsung.
Biarpun menjadi kumpulan minoriti di celah 60,000 penonton tuan rumah, namun situasi itu tidak langsung mematahkan semangat peminat Malaysia yang sanggup datang dari jauh untuk menaikkan semangat pemain kebangsaan.
Jurucakap Ultras Malaya, Arif Bilah Idris berkata, penyokong tuan rumah memberi layanan baik kepada peminat Malaysia sejak mereka tiba di luar stadium beberapa jam sebelum perlawanan.
“Keadaan sangat tenang (tiada kekecohan tercetus antara dua kumpulan penyokong), malah ada peminat Thailand menghulurkan minuman kepada kami.
“Kami juga tiada masalah untuk membawa dram dan panji-panji,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sejak semalam, sebahagian ‘ekor’ Harimau Malaya bertolak ke Bangkok menaiki bas dari Kuala Lumpur seawal 3 pagi, malah ada yang menggunakan kereta api serta kenderaan persendirian.
Syarikat penerbangan tambang rendah, AirAsia turut menyemarakkan kehangatan menerusi penerbangan khas buat penyokong ke Bangkok.
“Inisiatif ini berdasarkan semangat kepada pasukan negara dan kita bantu mereka melontarkan sokongan memandangkan kita ada sumber yang boleh digunakan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia, Riad Asmat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan