SEPANG: Ketua jurulatih skuad Harimau Malaya Tan Cheng Hoe mahu anak buahnya bijak menyerap tekanan tuan rumah Vietnam apabila kedua-dua pasukan berentap pada aksi final kedua Piala AFF di Stadium My Dinh Hanoi, Sabtu ini.
Selepas mengharungi aksi pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil dengan keputusan 2-2, skuad negara jelas tiada pilihan lain selain wajib menang di depan ribuan penyokong tuan rumah yang hanya mahukan seri 0-0 untuk muncul juara menerusi peraturan gol di tempat lawan.
Sudah pasti, Stadium My Dinh yang berkapasiti 40,192 penonton itu akan dibanjiri penyokong Vietnam.
Senario itu jelas akan menguji kekuatan mental pemain dalam tempoh 90 minit yang dijangka genting, namun Cheng Hoe optimis terhadap kemampuan pemainnya untuk berdepan ranjau itu.
"Kita tak dapat keputusan bekalan selesa (final pertama), tetapi dengan keputusan 2-2 saya rasa kita masih ada peluang terbaik.
"Walaupun bermain di Hanoi umpama memanjat gunung yang tinggi, pemain kena sedia dari segi fizikal dan mental untuk menghadapi tekanan," katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Sepang (KLIA), di sini, hari ini.
Malaysia, juara 2010, gagal memanfaatkan aksi gelanggang sendiri apabila melepaskan dua gol biarpun selepas itu kembali bangkit untuk mengikat kedudukan 2-2.
Meskipun mengakui ranjau bakal ditempuh anak buahnya, Cheng Hoe bagaimanapun gembira apabila mengesahkan tiga tonggak – Aidil Zafuan Abd Radzak, Syazwan Andik dan Syahmi Safari – bakal mengisi kesebelasan utama.
Jelas pengendali berusia 50 tahun itu, Aidil dan Syazwan sudah pulih sepenuhnya daripada masalah hamstring dan kembalinya Syahmi daripada penggantungan satu perlawanan, nyata memberi kelegaan menjelang aksi 'hidup mati' itu.
“Kita harap dengan kembalinya tiga pemain pertahanan ini, ia sedikit sebanyak akan membantu di bahagian pertahanan. Tapi kita tahu serangan Vietnam agak pantas dan mereka cepat mengambil peluang, jadi pemain kita perlu fokus selain tidak membenarkan gawang kita dibolosi,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan