Berdasarkan tinjauan Ming­guan Malaysia, sebahagian besar penyokong mula beratur seawal pukul 7 malam untuk menjadi antara orang terawal berada di depan kaunter tiket sebaik sahaja ia dibuka pada pukul 10 pagi esok.
Malah, ada penonton sudah tiba di Bukit Jalil dari pukul 8 pagi tadi kerana menjangkakan jualan mula dibuka hari ini dengan sebahagiannya membawa keluarga, termasuk anak kecil.
“Saya tunggu dari pukul 8 pagi tadi sebab mendapat khabar angin di WhatsApp kaunter dibuka hari ini pada pukul 9 pagi. Alang-alang di sini saya tunggu sampai pagi esok sahaja sebab saya mengikuti perlawanan sejak daripada peringkat kumpulan lagi,” kata seorang penyokong, Ismail Sulaiman, 29, yang merupakan anggota tentera.
Sementara itu, Setiausaha Agung FAM, Stuart Rama­lingam berkata, beliau gembira melihat sokongan hebat yang ditunjukkan peminat bola sepak Malaysia, namun dalam masa sama risau de­ngan permintaan terlalu tinggi.
“Saya bersyukur permintaan penyokong kita tinggi tetapi sebenarnya saya juga risau sebab kita hanya ada 32,000 tiket untuk dijual di stadium esok. Kita telah agihkan yang lain secara dalam talian dan menerusi rakan-rakan jualan seperti Al-Ikhsan.