Featured post

📆 Jadual perlawanan CIMB Liga Super dan Liga Premier musim 2020!#LigaMalaysiaKembali#CIMBLigaSuper2020#LigaPremier2020

📆 Jadual perlawanan CIMB Liga Super dan Liga Premier musim 2020! Untuk download,  https:// https:/U/ we.tl/t-O8tyMSagYQ Anda bole...

Sabtu, 8 Disember 2018

Penyokong mahu naik bas ke Hanoi

MOHD Rahimi Anas Mohd Ali (dua dari kanan) bersama penyokong Harimau Malaya tiba di Danok selepas mengharungi perjalanan pulang selama 17 jam menaiki bas dari Bangkok, kelmarin.
KUALA LUMPUR: Keghairahan untuk memberi sokongan kepada pasukan kebangsaan pada aksi separuh akhir kedua Piala AFF 2018 bertemu Thailand, Selasa lalu memaksa penyokong Harimau Malaya melakukan ‘kerja gila’.
Ini kerana mereka memilih jalan darat untuk menuju ke Stadium Rajamangala, Bangkok berbanding jalan udara sekali gus menempuh ribuan kilometer semata-mata untuk menyaksikan Harimau Malaya beraksi pada kejohanan berprestij itu.
Namun, pengorbanan dan keringat yang dilalui nyata berbaloi apabila anak buah Tan Cheng Hoe menyingkirkan juara bertahan selepas seri 2-2 secara agregat dan layak menerusi peraturan gol di tempat lawan sekali gus menempah pertemuan dengan Vietnam pada aksi final, minggu depan.
Seorang penyokong Harimau Malaya yang mengikuti ‘pengembaraan’ itu, Mohd Rahimi Anas Mohd Ali menjelaskan idea itu tercetus hanya secara gurauan sebelum ia menjadi realiti atas kerjasama ramai penyokong yang turut mahu ke Bangkok dengan menaiki bas.
“Pada mulanya, ia sekadar sembang kosong namun kami tidak menyangka apabila ramai yang bersetuju dengan cadangan itu. Jadi kami terus mencari agensi pelancongan dan berunding untuk menyewa lima buah bas ke Bangkok.
“Pelbagai dugaan diharungi antaranya dua bas yang tiba lewat hingga terpaksa menunggu selama tiga jam sebelum perjalanan dimulakan di Danok. Dengan perjalanan yang memakan masa hingga 16 jam hanya untuk pergi, hanya Tuhan yang tahu kepenatan yang dirasai.
“Namun kami berpuas hati apabila Malaysia berjaya mara ke final. Segala kepenatan yang dirasai terus hilang dan kami mengharungi perjalanan pulang selama 17 jam dengan hati penuh berbunga,” katanya.
Mengulas mengenai aksi final bertemu Vietnam, Rahimi tidak menolak kemungkinan mereka akan meneruskan ‘kerja gila’ apabila merancang untuk ke Hanoi juga menggunakan jalan darat.
“Kami sudah melakukan sedikit carian dan kami melihat perjalanan memakan masa selama tiga hari untuk sampai ke sana.
“Apa pun, sama ada jalan darat mahupun udara, kami akan tetap mencari jalan untuk terus memberi sokongan kepada pasukan negara,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan