KUALA LUMPUR 10 Dis. - Pada 2010, Tan Cheng Hoe, Norshahrul Idlan Talaha dan Khairul Fahmi Che Mat menjadi watak utama Malaysia ketika mendakap Piala AFF buat kali pertama.
Lapan tahun berlalu, ketiga-tiga mereka masih memainkan peranan penting buat Harimau Malaya dan sedia membimbing skuad muda negara memburu kejuaraan kedua dengan mengalahkan Vietnam dalam perlawanan akhir.
Biarpun barisan pemain serta suasana sudah jauh berbeza, namun Cheng Hoe menegaskan, memori indah 2010 menjadi motivasi buatnya dan semua pemain untuk memburu kemenangan, terutama apabila beraksi di depan penyokong sendiri esok.
“Ini perlawanan besar tetapi kami sudah dipersiapkan dengan baik. Beberapa pemain seperti Aidil (Zafuan Abdul Radzak) serta Syazwan Andik belum cergas sepenuhnya, namun kami amat bersedia menghadapi Vietnam.
“Saya juga masih ingat memori 2010, ia sentiasa tersemat sampai bila-bila. Sudah tentu, suasana 2010 dan 2018 jauh berbeza, dulu saya hanya penolong jurulatih tetapi sekarang ketua jurulatih.
“Begitupun, saya percaya, kami memiliki barisan pemain yang mampu membantu kita mengulangi kejayaan lapan tahun lalu.
“Vietnam adalah pasukan yang kuat tetapi kita juga boleh memberi cabaran dan harus memanfaatkan kelebihan di laman sendiri esok,” kata Cheng Hoe dalam sidang akhbar hari ini.
Pada 2010, Malaysia mengalahkan Indonesia dalam perlawanan akhir menerusi agregat 4-2 selepas menang 3-0 di Bukit Jalil dan tewas 1-2 di Jakarta.
Penyerang sensasi Harimau Malaya, Safee Sali turut dinobat sebagai penjaring terbanyak kejohanan ketika itu dengan lima gol manakala Norshahrul yang bakal mengetuai jentera serangan Malaysia dalam kempen 2018 sudah meledak lima gol setakat ini.
Tegas Cheng Hoe lagi, biarpun tewas 0-2 kepada Vietnam pada peringkat kumpulan bulan lalu, Harimau Malaya tidak melihat kekalahan itu sebagai tekanan untuk memburu kemenangan.
“Serangan Vietnam pantas, mereka sangat kuat tetapi itu adalah cabaran kita (untuk menewaskan mereka) bukan halangan.
“Bermain di Bukit Jalil, semua pemain sangat bermotivasi kerana persekitaran di sini amat istimewa dan sebab itulah kita kena menang di tempat sendiri,” ujarnya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan