Farizal mahu rakan-rakan sepasukannya tidak melepaskan peluang terbaik untuk menjulang Piala AFF Suzuki 2018 menentang Vietnam di Stadium Nasional My Dinh, Hanoi malam ini.
PENJAGA gol utama skuad Harimau Malaya, Farizal Marlias menyeru rakan-rakan sepasukannya agar tidak melepaskan peluang terbaik dalam misi menjulang trofi Piala AFF Suzuki 2018 menjelang final kedua menentang Vietnam di Stadium My Dinh, Hanoi malam ini.
Katanya, barisan pemain menunjukkan sikap positif dengan mempamerkan semangat juang untuk bangkit daripada ketinggalan 0-2 sebelum berjaya mengikat Vietnam 2-2 pada aksi final pertama di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur Selasa lepas.
“Saya lihat motivasi pemain kini sudah berada pada tahap terbaik selepas pemain berjaya menunjukkan kebangkitan dengan mengikat Vietnam di laman sendiri sebelum ini.
“Bagi saya secara peribadi, momentum tersebut perlu diteruskan dan segala kelemahan yang dilakukan pada final pertama perlu dielakkan daripada berulang,” katanya semalam.
Farizal yang juga penjaga gol skuad Johor Darul Ta’zim (JDT) itu sudah bersedia untuk menjadi ‘hero’ sekali lagi selepas berjaya menyelamatkan beberapa peluang satu lawan satu milik Vietnam pada aksi lalu.
“Saya enggan mendabik dada meskipun berjaya menyelamatkan beberapa percubaan berbahaya Vietnam kerana ada ketika nasib tidak memihak kepada kita.
“Apa yang pasti, saya sudah bersedia secara mental dan fizikal untuk menghadapi segala kemungkinan termasuk latihan penalti andai perlawanan diheret hingga ke masa tambahan dan penentuan penalti.
“Apa yang pasti, saya percaya peluang masih 50-50 dan meraih kemenangan di Hanoi bukan perkara mustahil memandangkan kita pernah melakukannya pada edisi 2014 ketika menyingkirkan Vietnam di pentas separuh akhir dengan keputusan agregat 5-4,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan