Menurut media di Vietnam, negara tersebut hanya memerlukan satu lagi perlawanan untuk menyamai rekod 15 perlawanan tanpa kalah di pentas antrabangsa yang kini dipegang oleh Perancis.
Skuad Naga Emas itu kini telah melalui 14 perlawanan tanpa sebarang kekalahan, dan kini berpeluang menyamai rekod yang dipegang juara dunia itu – setelah Perancis tewas kepada Belanda di UEFA Nations League bulan lalu.
Vietnam sudah pun melalui saingan peringkat kumpulan Piala AFF Suzuki dengan tiga kemenangan dan satu seri sebelum ini sebelum menewaskan Filipina dua kali di saingan separuh akhir.
Kali terakhir Vietnam merekodkan kekalahan di saingan antarabangsa ialah di kejohanan Piala AFF 2016 – tewas 2-1 kepada Indonesia.
Sasar Malaysia untuk rekod
Setelah mengumpul tujuh kemenangan dan tujuh lagi perlawanan yang berakhir dengan seri, skuad bimbingan Park Hong-seo kini mensasarkan Malaysia untuk melebarkan rekod tanpa kalah mereka. Kedua-dua pasukan telah berjaya melayakkan diri ke perlawanan akhir kejohanan serantau edisi ke-12 tersebut.
Di atas kertas, segalanya tampak mudah buat Vietnam yang kini berada di ranking ke-100 dunia, berbanding Malaysia yang menduduki tangga ke-167 dunia – seperti yang diumumkan oleh FIFA pada penghujung November lalu.
Malah Vietnam turut berjaya menundukkan Malaysia 2-0 di saingan peringkat kumpulan di Hanoi, dan kini berada di tahap terbaik untuk mengulangi pencapaian pada 2008. Kedua-dua pasukan akan bertemu di perlawanan akhir pertama di Bukit Jalil pada malam esok.
Masih bukan terbaik
Walaupun jika Vietnam berjaya menyamai rekod Perancis, atau menjadi lebih baik dari Perancis jika menewaskan Malaysia di Hanoi, rekod tanpa kalah tersebut sebenarnya adalah pencapaian terbaik bagi sesebuah pasukan kebangsaan di dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini sahaja.
Perancis merekodkan kekalahan pada Mac 2018 kepada Colombia. Selepas itu mereka tidak tewas 15 perlawanan sepanjang tahun ini sehinggalah kekalahan kepada Belanda di UEFA Nations League pada bulan lalu.
Sebagai perbandingan, Vietnam hanya beraksi tujuh perlawanan setakat ini sepanjang 2018. Enam lagi perlawanan diadakan sepanjang 2017, dan rekod tanpa kalah ini sebenarnya diambil kira bermula dengan keputusan seri 2-2 menentang Indonesia di Hanoi pada Disember 2016.
Untuk rekod, Brazil dan Sepanyol masing-masing memiliki 35 rekod tanpa kalah perlawanan antarabangsa, manakala Perancis sendiri pernah melalui 21 perlawanan berturut-turut tanpa kalah.
Perang minda oleh media?
Persoalannya sekarang, adakah ini salah satu strategi oleh Vietnam untuk mewujudkan perasaan gerun kepada skuad Harimau Malaya menjelang perlawanan akhir esok.
Atau adakah ianya adalah salah satu cara untuk menambah keyakinan barisan pemain skuad Naga Emas yang turut bakal berhadapan dengan lebih 80,000 sorakan ‘Ekor’ Harimau Malaya di Stadium Nasional Bukit Jalil?
Tanpa menafikan kekuatan dan kebangkitan pasukan kebangsaan Vietnam mutakhir ini, mereka juga harus sedar bahawa pentas perlawanan akhir adalah pentas saingan yang berbeza.
Bagi skuad Harimau Malaya, usahlah gentar. Nafikan pencapaian dan rekod yang mereka inginkan itu!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan