Biarpun amat yakin dengan keupayaan dan barisan pemain yang dimiliki skuad Naga Emas, namun bintang tengah berusia 29 tahun itu tetap mempunyai kebimbangan apabila turun beraksi dalam final pertama di Stadium Nasional, Bukit Jalil esok.
Pertama, Harimau Malaya sering mempamer aksi berbeza apabila beraksi di depan lebih 80,000 penonton sendiri dan kedua, dia adalah sebahagian tonggak yang dicewakan oleh Malaysia pada perlawanan akhir Sukan SEA 2008 di Laos.
“Saya percaya, sekarang adalah masa terbaik Vietnam untuk menamatkan penantian 10 tahun kerana kami memiliki sekumpulan pemain muda dan berpengalaman yang berupaya menghadiahkan kejuaraan.
“Namun, saya sudah ingatkan pemain supaya tidak berlalu yakin walaupun perlawanan peringkat kumpulan memihak kepada kami.
“Saya pesan kepada mereka supaya ambil cerita pasukan Sukan SEA 2009 sebagai iktibar kerana aksi final ternyata berbeza sama sekali,” katanya dalam sidang akhbar di Stadium Nasional, Bukit Jalil hari ini.
Katanya, kekalahan 0-1 kepada Malaysia dalam Sukan SEA lalu sentiasa menjadi pengajaran berguna buatnya setiap kali menentang Harimau Malaya.
“Keadaan sekarang sama seperti Sukan SEA di Laos. Ketika itu kami adalah pasukan pilihan untuk memenangi pingat emas apatah lagi rekod di peringkat kumpulan memihak kami.
“Begitupun, memasuki perlawanan akhir, kami tewas tipis dan itu cukup mengecewakan. Senario sama nampaknya berlaku lagi di AFF kali ini, apabila kami berjaya menewaskan Malaysia dalam kumpulan sebelum ini,” katanya lagi. - UTUSAN ONLINE