Lagenda badminton negara, Datuk Lee Chong Wei mengesahkan beliau akan hadir di Stadium Nasional Bukit Jalil untuk menyaksikan perlawanan akhir pertama Piala AFF 2018 di antara Harimau Malaya menentang Vietnam malam esok.
Bekas pemain badminton nombor satu dunia itu sebenarnya memang tidak sabar untuk hadir memberikan sokongan padu kerana beliau sudah menyaksikan perlawanan yang melibatkan skuad Harimau Malaya sejak di peringkat kumpulan lagi.
“Saya selalu menonton perlawanan mereka (Harimau Malaya) di rumah. Bermula dari peringkat kumpulan sehingga perlawanan separuh akhir menentang Thailand.
“Saya akan turun esok (memberi sokongan). Saya tahu ia bukan perlawanan yang mudah untuk negara, apatah lagi Zaquan (Adha Abdul Radzak) adalah rakan baik saya selain bertindak sebagai ketua pasukan,” katanya kepada Stadium Astro
Chong Wei yakin skuad Harimau Malaya akan jadi juara Piala AFF 2018
Mengulas mengenai corak permainan Harimau Malaya, Chong Wei harap skuad kendalian Tan Cheng Hoe itu meneruskan aksi cemerlang seperti mana yang dipamerkan ketika menentang Thailand di separuh akhir.
“Saya harap Harimau Malaya dapat mempamerkan aksi terbaik di tempat sendiri dan di Vietnam.
“Saya harap mereka boleh membawa pulang Piala AFF. Saya sedar ia bukan tugas mudah kerana saya juga menonton perlawanan Malaysia menentang Thailand.
“Inilah masanya. Saya harap pemain Malaysia bersemangat tinggi. Dengan stadium yang penuh, saya harap rakyat Malaysia yang tidak ke stadium juga tetap mendoakan kejayaan Harimau Malaya.
“Malaysia Boleh !!!” teriak bekas naib juara dunia itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan