TAN CHENG HOE (kanan) bersama Farizal Marlias (dua dari kanan), Nguyen Anh Duc dan Park Hang Seo dalam sidang akhbar di Hanoi, semalam.
HANOI 14 Dis. - Tan Cheng Hoe terpaksa mengambil risiko menyenaraikan dua pemain yang baru pulih daripada kecederaan, Aidil Zafuan Abdul Radzak dan Syazwan Andik Ishak esok bagi memastikan Harimau Malaya menurunkan benteng paling ampuh menentang Vietnam di Hanoi, esok.
Dua tonggak pertahanan itu disisihkan daripada final pertama yang berkesudahan 2-2, dan biarpun sudah disahkan pulih, namun tidak dapat dipastikan sejauh mana mereka mampu beraksi sepanjang 90 minit dalam perlawanan berintensiti tinggi
Perkara paling membimbangkan adalah jika kecederaan berulang, kerana ia akan menjejaskan perancangan serta taktikal, selain momentum permainan.
Begitupun, suka atau tidak, risiko adalah perkara yang terpaksa diambil Cheng Hoe demi merealisasikan harapan seluruh rakyat Malaysia untuk melihat Harimau Malaya membawa pulang Piala AFF buat kali kedua selepas 2010.
“Apa pun percaturan yang akan dilakukan esok, matlamatnya cuma satu - mencari kemenangan dan pulang bersama kejuaraan.
“Bagi mencari keputusan positif, kita perlu keluarkan segala-galanya yang ada. Daripada pemain, taktikal atau strategi, malah mungkin ada risiko perlu diambil.
“Kalau dalam final pertama kita tidak dapat turunkan kesebelasan utama namun kali ini saya janji akan menurunkan barisan terbaik terutama barisan pertahanan.
“Harap pemain tidak kehilangan fokus ketika menyerang dan bertahan.
“Saya juga tidak mahu pemain bermain dalam keadaan tekanan sebaliknya perlu menikmati suasana final sekali gus beraksi dalam keadaan tenang,” kata Cheng Hoe dalam sidang akhbar di sini, hari ini.
Kesusahan yang perlu ditempuh skuad negara kali ini lebih perit, meskipun Harimau Malaya di bawah kendalian Dollah Salleh pernah melakukan keajaiban pada 2014 di Hanoi dengan menang 4-2 selepas tewas 1-2 dalam separuh akhir pertama di Shah Alam.
Anak-anak buah Cheng Hoe tewas 2-0 kepada Vietnam dalam aksi peringkat kumpulan, bulan lalu namun final merupakan pentas berbeza dan ia telah dibuktikan oleh Harimau Malaya di Bukit Jalil.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan