
PENYOKONG yang menyaksikan final pertama Piala AFF 2018 antara Malaysia menentang Vietnam di Axiata Arena. - Foto MOHD KHAIRIE KHALID
BUKIT JALIL: Kekecewaan penonton bola sepak yang tidak dapat membeli tiket terubat apabila dapat menyaksikan perlawanan final pertama Piala AFF antara Malaysia dan Vietnam di Axiata Arena, malam ini.
Penyokong dilihat mula memenuhi dewan sejak petang tadi dengan masing-masing memakai jersi Harimau Malaya.
Sebaik saja siaran secara langsung di skrin gergasi bermula, penonton mula bersorak dan mengamatkan dewan, sekali gus menunjukkan betapa bersemangatnya mereka.
Penyokong setia Harimau Malaya, Nur Hanim Daud, 19, berkata dia lega kerana dapat menjadi sebahagian daripada rakyat Malaysia memberikan sokongan buat pasukan negara.
“Saya sebagai pelajar tidak sempat beratur membeli tiket sebelum ini, tetapi lega apabila berpeluang menyaksikan perlawanan di sini, hari ini.
“Saya memang minat Harimau Malaya sejak kecil, jadi saya harap Malaysia mampu menjuarai Piala AFF kali ini,” kata Hanim yang juga pelajar Putra Intelek International Kolej, Cyberjaya, ketika ditemui dekat sini, hari ini.
Terdahulu, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memberi peluang kepada mereka yang gagal mendapatkan tiket perlawanan akhir Piala AFF untuk menyaksikan secara beramai-ramai di Arena Axiata, Bukit Jalil, secara percuma.
Menterinya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, berkata beliau bersimpati terhadap mereka yang tidak dapat membeli tiket itu biarpun beratur lama.
Tayangan secara langsung perlawanan akhir Malaysia bertemu Vietnam itu bermula pada jam 8 malam dan hanya 15,000 penonton dibenarkan memasuki Arena Axiata.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan