
Bekas pengendali skuad kebangsaan, Dollah Salleh. - Foto Farizul Hafiz Awang
KUALA LUMPUR: Harimau Malaya tidak boleh turun dengan corak permainan bertahan sekiranya mahu meraih keputusan positif berdepan Vietnam pada final kedua Piala AFF di Stadium Nasional My Dinh, Hanoi, malam esok.
Bekas pengendali skuad kebangsaan, Dollah Salleh berpendapat Harimau Malaya mungkin akan memberi lebih banyak ruang untuk Vietnam mengatur gerakan sekiranya bermain secara bertahan.
Mengakui Harimau Malaya mampu mengejutkan Vietnam, jurulatih Pahang itu menjelaskan anak buah Tan Cheng Hoe perlu memberikan persembahan lebih 200 peratus untuk mengatasi kelebihan dimiliki Naga Emas.
“Strategi terpulang kepada jurulatih dan kita tidak boleh ganggu. Cuma pendapat saya secara peribadi, dulu (pada 2014) kami pergi ke sana untuk jaringkan gol, tapi pada masa yang sama mereka jangan leka.
“Pada final pertama (di Bukit Jalil) mereka amat rapuh di bahagian pertahanan, sebab itu Vietnam dapat hasilkan dua gol. Mereka tak boleh fikir nak bertahan kerana kalau seri 0-0 atau 1-1 kita tetap kalah.
“Saya boleh cakap jangan pergi ke sana (Hanoi) hanya untuk bertahan, kena fikir pergi sebab nak menang,” katanya kepada Sukan NSTP.
Dollah berjaya mengemudi Harimau Malaya menyingkirkan Vietnam pada separuh akhir Piala AFF 2014 menerusi agregat 5-4 apabila melakar kebangkitan dramatik dengan kemenangan 4-2 di Hanoi selepas tewas aksi pertama 1-2 kepada Naga Emas di Shah Alam.
Pada final kali ini, Harimau Malaya perlu menang atau sekurang-kurangnya mencatat keputusan seri 3-3 untuk muncul juara selepas terikat 2-2 pada aksi pertama di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Selasa lalu.
Selain itu, Dollah turut menjelaskan jentera tengah negara perlu lebih kreatif dalam melakukan hantaran berbahaya ke bahagian serangan untuk memecahkan kubu Vietnam.
“Jentera tengah tak dapat membuat hantaran yang baik dari tengah kepada penyerang. Anda tengok Vietnam, walaupun mereka bergantung kepada serangan balas, tapi hantaran daripada pemain tengah kepada penyerang cukup berbahaya.
“Pemain tengah negara lebih banyak tolak (menghantar bola) ke belakang. Mereka ada (Mohamadou) Sumareh, Safawi (Rasid), Mat Yo (Norshahrul Idlan Talaha) dan Zaquan Adha (Abd Radzak), semua laju, jadi kenapa nak perlahankan rentak permainan.
“Apa yang saya lihat Vietnam pun takut dengan jentera serangan negara. Tapi Sumareh, Safawi dan Mat Yo terpaksa turun untuk ambil bola sebab jentera tengah tidak membuat hantaran berbahaya yang menembusi benteng Vietnam, itu kelemahan yang perlu diperbaiki,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan