KUALA LUMPUR:"Jangan berhenti apabila penat, berhenti hanya selepas mencapai kejayaan!"
Itu kata-kata semangat yang ditiupkan kapten pasukan kebangsaan, Zaquan Adha Abdul Radzak kepada rakan sepasukan untuk mengharungi misi sukar pada aksi final kedua di Stadium My Dinh bagi mencerahkan peluang merangkul kejuaraan Piala AFF buat kali kedua, Sabtu ini.
Susulan skuad Naga Emas itu kini memiliki kelebihan dua gol di tempat lawan, pasukan bimbingan Tan Cheng Hoe tidak mempunyai pilihan selain perlu menundukkan lawan yang kini menghuni ranking ke-100 dunia untuk dinobat selaku 'Raja Asia Tenggara' baharu.
"Memang diakui tempoh kejohanan yang agak panjang kali ini sudah mula memberi kesan kepada pemain yang berdepan dengan kepenatan selepas mengharungi perlawanan demi perlawanan.
"Tetapi saya sering ingatkan rakan sepasukan supaya biarlah kepenatan yang dirasai ketika ini terbalas dengan kejayaan yang akan diraih nanti. Saya mahukan semangat itu tidak hilang untuk aksi kedua nanti.
"Tidak mudah untuk menjadi juara, jadi semua pemain perlu lebih kuat. Tidak mustahil untuk kita menjadi juara di Vietnam kalau kita sentiasa berfikiran positif," katanya ketika ditemui selepas perlawanan, malam tadi.
Mengulas lanjut aksi final pertama yang berakhir dengan keputusan 2-2 itu, penyerang Kuala Lumpur itu mengakui banyak kerja yang perlu dilakukan seandainya berhasrat mengejutkan lawan di Hanoi, Sabtu ini.
"Vietnam jauh berbeza dengan Thailand. Bukan setakat memiliki kepantasan, mereka juga cepat menutup ruang dan setiap kali kehilangan bola, mereka akan terus cuba mendapatkannya kembali.
"Apabila sudah mara ke final, sudah tentu cabarannya lebih sengit, jadi dalam tempoh beberapa hari ini, kita perlu fikirkan apa yang harus dilakukan untuk berdepan Vietnam nanti," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan