KUALA LUMPUR: Bukan setakat menentang pemain Vietnam, malah skuad Harimau Malaya perlu bersedia berdepan sorakan padu penyokong lawan pada aksi final kedua Piala AFF di Hanoi, Sabtu ini.
Mana tidaknya, media Vietnam melaporkan sorakan penyokong skuad Naga Emas itu ketika meraikan gol pembukaan yang dijaringkan Nguyen Quang Hai pada separuh akhir kedua bertemu Filipina di Stadium Nasional My Dinh mencecah hingga 121.7 desibel.
Sebagai perbandingan, kekuatan 121.7 desibel itu dikatakan menyamai kekuatan bunyi guruh.
Jadi, ketika stadium akan didominasi penyokong lawan, sudah tentu anda dapat menjangkakan situasi sama disaksikan pada aksi final kedua apatah lagi selepas mereka kini berkelebihan dengan dua gol di tempat lawan susulan keputusan 2-2 di Stadium Nasional, Bukit Jalil, kelmarin.
Justeru, pemain Harimau Malaya perlu menguatkan mental bagi aksi penentuan itu dan diharapkan gema sorakan penyokong Vietnam sama sekali tidak menjejaskan fokus mereka dalam usaha memburu gelaran kedua Piala AFF.
Dengan Malaysia tidak memiliki sebarang kelebihan, anak buah Tan Cheng Hoe tiada jalan lain untuk merangkul kejuaraan selain perlu meraih kemenangan ke atas skuad bimbingan Park Hang Seo.
Bagaimanapun, pemain Harimau Malaya mungkin boleh menarik nafas lega memandangkan penyokong negara tetap akan turun memberikan sokongan terhadap mereka.
Meskipun dianggarkan hanya 3,000 penyokong akan hadir berbanding kehadiran puluhan ribu penyokong lawan, setidak-tidaknya sorakan penyokong Harimau Malaya akan dapat membantu membakar semangat pemain untuk mencipta kejutan di Hanoi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan