Perlu perbaiki kelemahan jika mahu lakar kejutan julang Piala AFF
MASIH ada 90 minit perlawanan untuk skuad Harimau Malaya memperbaiki segala kelemahan sekiranya berhasrat untuk menjulang trofi Piala AFF Suzuki buat kali kedua selepas terikat 2-2 dengan Vietnam dalam aksi final pertama di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur kelmarin.
Ketua jurulatih skuad negara, Tan Cheng Hoe optimis pasukannya masih lagi berpeluang untuk muncul juara tetapi dengan syarat anak-anak buahnya perlu menggandakan usaha dalam final kedua yang bakal berlangsung di Stadium My Dinh, Hanoi, Sabtu ini.
Katanya, tempoh rehat selama tiga hari perlu dimanfaatkan sepenuhnya untuk memastikan keputusan positif diraih dalam perlawanan ‘wajib menang’ itu nanti.
“Secara keseluruhan, kami bermain dengan baik tetapi kehilangan fokus dalam beberapa minit telah menghukum pasukan khususnya dengan membiarkan Vietnam meledak dua gol pantas pada babak pertama.
“Saya berbangga apabila barisan pemain memberikan respons positif untuk kembali mengikat kedudukan sekali gus membuka ruang dan peluang pasukan pada aksi kedua nanti.
“Sebagai jurulatih, saya masih optimis pasukan boleh meraih keputusan positif tetapi perlu mengelakkan sebarang kesilapan mudah pada baki 90 minit nanti,” katanya pada sidang akhbar di Stadium Nasional, Bukit Jalil kelmarin.
Dalam perkembangan sama, Cheng Hoe mengakui jaringan di tempat lawan telah memberi kelebihan buat skuad Naga Emas itu tetapi ia bukanlah misi mustahil memandangkan skuad negara pernah menang di gelanggang keramat Vietnam sebelum ini.
“Saya tidak menafikan Vietnam memiliki pemain yang lebih bagus berbanding Malaysia secara teknikal selain strategi menyerang yang ampuh dan ia telah terbukti apabila mereka cukup konsisten di pentas antarabangsa tahun ini.
“Namun, ia bukanlah misi mustahil kerana kami pernah menang di Hanoi dan saya berharap sejarah akan berulang kembali Sabtu ini,” katanya.
Sebagai rekod, skuad negara pernah menang 4-2 di Stadium My Dinh ketika menyingkirkan Vietnam di pentas separuh akhir Piala AFF 2014 dengan agregat 5-4 sekali gus mara ke pentas akhir sebelum tewas kepada Thailand.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan