KUALA LUMPUR: Piala AFF 2018 boleh menjadi hadiah ulang tahun paling bermakna buat penyokong Harimau Malaya, Azmarhadi Omar.
Dengan ulang tahunnya yang ke-37 jatuh pada Sabtu ini, Azmarhadi, seorang chef di hotel terkemuka di ibu negara mengharapkan pasukan kebangsaan dapat merealisasikan hasratnya itu.
“Secara kebetulan, ulang tahun saya tahun ini jatuh pada hari final kedua Piala AFF, jadi tiada hadiah lain yang saya mahukan selain melihat pasukan Harimau Malaya menjulang trofi kebanggaan itu buat kali kedua, Sabtu ini.
“Sekalipun peluang Malaysia dilihat agak sukar kerana Vietnam memiliki kelebihan besar namun saya yakin Tan Cheng Hoe ada ramuan tersendiri untuk mengejutkan lawan di tempat mereka.
“Meskipun saya tidak ke Hanoi untuk menyaksikan perlawanan itu secara langsung, saya akan tetap memberi sokongan padu dengan menonton perlawanan itu di tanah air bersama rakan,” katanya ketika dihubungi Sukan NSTP, hari ini.
Anak buah Cheng Hoe akan bertandang ke Stadium Nasional My Dinh, Sabtu ini bagi final kedua Piala AFF selepas aksi pertama di Stadium Nasional, Bukit Jalil, kelmarin berakhir dengan keputusan 2-2.
Berdasarkan keputusan 2-2 itu, skuad Harimau Malaya dilihat tidak memiliki kelebihan dan tiada pilihan lain untuk merangkul kejuaraan selain perlu mencatat kemenangan.
Malah, mereka juga perlu menggandakan usaha andainya skuad bimbingan Park Hang Seo mengambil pendekatan bertahan bagi mengekalkan kelebihan dua gol di tempat lawan dimiliki mereka.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan