
Bekas pengendali skuad kebangsaan, Dollah Salleh. - Foto Farizul Hafiz Awang
KUALA LUMPUR: Bekas pengendali Harimau Malaya, Dollah Salleh hari ini berkongsi idea bagaimana untuk menewaskan Vietnam menjelang pertemuan aksi timbal balik final Piala AFF di Stadium Nasional My Dinh, Hanoi, malam esok.
Menurut pengendali yang membimbing skuad negara menang pertemuan separuh akhir 2014 ke atas lawan yang sama dengan agregat 5-4 (tewas 1-2 di Shah Alam sebelum bangkit 4-2 di Hanoi), pasukan kendalian Tan Cheng Hoe itu perlu agresif mencari gol dari awal supaya tidak tertekan.
Menurutnya, pemain negara juga tidak boleh mengamalkan corak permainan bertahan kerana mungkin memberi lebih banyak ruang untuk skuad Naga Emas mengatur gerakan yang dikhuatiri boleh menggegarkan gawang Malaysia.
Mengakui skuad negara mampu mengejutkan Vietnam, jurulatih Pahang itu menjelaskan setiap pemain perlu memberikan persembahan lebih 200 peratus untuk mengatasi kelebihan dimiliki pasukan tuan rumah.
“Strategi terpulang kepada jurulatih dan kita tidak boleh ganggu. Cuma pendapat saya secara peribadi, dulu (pada 2014) kami pergi ke sana untuk jaringkan gol, tapi pada masa yang sama tidak leka.
“Apa yang saya lihat, pada final pertama (di Bukit Jalil ) mereka amat rapuh di bahagian pertahanan, sebab itu Vietnam dapat hasilkan dua gol. Tapi kali ini, mereka tak boleh fikir nak bertahan kerana kalau seri 0-0 atau 1-1, kita tetap kalah.
“Jadi, bagi saya jangan pergi ke sana (Hanoi) hanya untuk bertahan, tapi nak menang. Caranya dengan menjaringkan gol,” katanya kepada Sukan NSTP.
Pada final kali ini, Harimau Malaya perlu menang atau sekurang-kurangnya seri 3-3 untuk muncul juara selepas terikat 2-2 pada aksi pertama di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Selasa lalu.
Selain itu, Dollah turut menjelaskan jentera tengah negara perlu lebih kreatif dalam melakukan hantaran berbahaya ke bahagian serangan untuk memecahkan kubu Vietnam.
“Jentera tengah tak dapat membuat hantaran yang baik dari tengah kepada penyerang. Anda tengok Vietnam, walaupun mereka bergantung kepada serangan balas, tapi hantaran pemain tengah kepada penyerang cukup berbahaya.
“Pemain tengah negara lebih banyak tolak (menghantar bola) ke belakang. Mereka ada (Mohamadou) Sumareh, Safawi (Rasid), Mat Yo (Norshahrul Idlan Talaha) dan Zaquan Adha (Abd Radzak), semuanya laju, jadi kenapa nak perlahankan rentak permainan.
“Apa yang saya lihat Vietnam juga takut dengan jentera serangan negara. Tapi Sumareh, Safawi dan Mat Yo terpaksa turun untuk ambil bola sebab jentera tengah tidak membuat hantaran berbahaya bagi menembusi benteng Vietnam. Itu kelemahan yang perlu diperbaiki,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan