Featured post

📆 Jadual perlawanan CIMB Liga Super dan Liga Premier musim 2020!#LigaMalaysiaKembali#CIMBLigaSuper2020#LigaPremier2020

📆 Jadual perlawanan CIMB Liga Super dan Liga Premier musim 2020! Untuk download,  https:// https:/U/ we.tl/t-O8tyMSagYQ Anda bole...

Isnin, 17 Disember 2018

Cheng Hoe harus kekal - Zaquan

Skuad Harimau Malaya miliki masa depan cerah bersama bekas pengendali Kedah itu


ZAQUAN (kiri) menerima replika cek naib juara Piala AFF Suzuki

ZAQUAN (kiri) menerima replika cek naib juara Piala AFF Suzuki 2018 selepas Harimau Malaya tewas 2-3 secara agregat kepada Vietnam di Stadium Nasional My Dinh, Hanoi kelmarin.
HANOI – Kapten skuad Harimau Malaya, Zaquan Adha Abd. Radzak yakin Tan Cheng Hoe merupakan individu paling layak untuk mengendalikan skuad kebangsaan meskipun gagal menghadiahkan trofi Kejua­raan ­Piala Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) Suzuki 2018 buat kali kedua buat negara selepas tewas 2-3 secara agregat kepada ­Vietnam kelmarin.
Menurut pemain pasukan Kuala Lumpur itu, Cheng Hoe memiliki ‘aura’ tersendiri selain mempunyai falsafah bola sepak moden yang mampu­ memberi dimensi baharu buat pasukan kebangsaan.

“Secara jujur, mana-mana jurulatih yang datang atau menjulang ­Piala Dunia sekalipun, jika tidak pandai mengambil hati pemain dan mengendalikan pasukan kebangsaan akhirnya jurulatih itu tidak akan mampu membuahkan kejayaan.
“Justeru, saya yakin jurulatih kami (Cheng Hoe) mempunyai karektor dan falsafah yang wajar dihormati. Meskipun pada peringkat awal ramai pihak mempersoalkan mengenai taktikal, formasi dan sebagainya, namun beliau berpegang teguh dengan pendiriannya.
“Sebagai jurulatih, dia sangat tenang dan setiap keputusan serta arahan yang dibuat sangat jelas dan mudah difahami pemain. Saya harap dia diberikan peluang untuk terus mengendalikan skuad Harimau Malaya,” katanya ketika ditemui pemberita di Hanoi kelmarin.
Kedudukan Cheng Hoe yang menggantikan pengurus import, Nelo Vingada tahun ini menjadi tanda tanya memandangkan kontraknya bersama Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bakal ber­akhir hujung Disember nanti.
Zaquan juga mahu momentum skuad kebangsaan diteruskan memandangkan rata-rata yang mewakili pasukan kebangsaan masih muda.
“Saya anggap pasukan ini memiliki masa depan cerah dan harap dapat fokus untuk terus memartabatkan kembali nama bola sepak negara di pentas antarabangsa,” katanya.
Sebagai rekod, Zaquan berjaya menjaringkan tiga gol sepanjang kempen Piala AFF Suzuki tahun ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan