Hasrat Malaysia menjulang Piala AFF Suzuki 2018 berkecai selepas tewas 2-3 secara agregat kepada Vietnam
PARA pemain Malaysia jelas kecewa selepas Vietnam memperoleh jaringan pertama seawal minit ke-6 pada aksi final kedua Piala AFF Suzuki di Stadium Nasional My Dinh, Hanoi malam tadi.
PELUANG skuad Harimau Malaya mengukir sejarah menjulang trofi Kejuaraan Piala Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) Suzuki buat kali kedua tidak kesampaian apabila tewas kepada Vietnam dengan keputusan agregat 2-3 pada aksi final kedua di Stadium Nasional My Dinh, Hanoi malam tadi.
Skuad kendalian Tan Cheng Hoe yang bertandang ke Hanoi berdepan misi sukar untuk mengejutkan Vietnam memandangkan pasukan Naga Emas bimbingan Park Hang-seo memiliki kelebihan jaringan di tempat lawan menerusi keputusan 2-2 pada aksi final pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur Selasa lalu.
Vietnam juga menggunakan sepenuhnya kelebihan beraksi di gelanggang sendiri apabila berjaya menyumbat gol awal menerusi penyerang veteran, Nguyen Ahn Duc yang menyudahkan hantaran lintang Nguyen Quang Hay pada minit ke-6.
Enggan mengibarkan bendera putih terlalu awal, hampir 40,000 penyokong tuan rumah terdiam apabila skuad Malaysia mula mendapat rentak tetapi gerakan serangan pada minit ke-11 gagal disudahkan dengan kemas oleh Mohamadou Sumareh.
Malaysia memiliki peluang terbaik menyamakan kedudukan sebelum tamat babak pertama apabila rembatan kencang pemain pertahanan muda, Syahmi Safari ke gawang lawan berjaya diselamatkan penjaga gol Vietnam, Dang Van Lam.
Bersambung babak kedua, skuad negara meneruskan momentum apabila meraih peluang untuk menjaringkan gol penyamaan menerusi tandukan Sumareh tetapi Van Lam sekali lagi muncul wira skuad Naga Emas apabila menafikan percubaan tersebut.
Kedua-dua pasukan kemudian saling menguasai perlawanan tetapi serangan skuad tuan rumah lebih tajam apabila hampir menambah jaringan menerusi Quang Hay tetapi berjaya dinafikan oleh penjaga gol berpengalaman negara, Farizal Marlias.
Harapan negara untuk mencipta kejutan tidak kesampaian selepas pengadil perlawanan, Alireza Faghani meniupkan wisel penamat, sekali gus menghadiahkan kemenangan 1-0 buat pasukan Vietnam pada aksi final kedua.
Sebagai rekod, kejayaan tersebut merupakan kali kedua buat Vietnam menjulang trofi kejohanan bola sepak Asia Tenggara selepas edisi 2008 ketika menewaskan Thailand.
Malaysia pula kekal dengan rekod satu kali kejuaraan hasil sentuhan ‘magis’ Datuk K. Rajagobal pada edisi 2010 dengan menewaskan seteru tradisi, Indonesia pada pentas akhir.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan