SKUAD Harimau Malaya menjalani sesi latihan bagi persiapan menjelang aksi final pertama Piala AFF 2018 di Stadium Nasional Bukit Jalil, di sini, hari ini. - UTUSAN/Abdul Razak Latif
KUALA LUMPUR 10 Dis. - Setiap aksi final tekanannya pasti amat dirasai bagaimanapun jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe enggan melayannya apabila Malaysia akan bertemu Vietnam dalam perlawanan akhir pertama Piala AFF di Stadium Nasional Bukit Jalil, esok
Cheng Hoe berkata beraksi di laman sendiri pastinya memberi kelebihan dan walaupun tekanan kian dirasai bekas pengendali Kedah itu mahu pemain mengambilnya sebagai cabaran dan motivasi.
“Setia perlawanan ada tekanannya. Tiada perlawanan yang tiada tekanan kerana kalau main bola sepak sosial sekali pun tekanan tetap ada. Bagaimanapun, saya selalu cakap kepada pemain untuk menjadikannya sebagai cabaran dan motivasi.
“Saya percaya pemain mampu mengatasinya. Kita ada pemain mida dan mereka perlu menikmati setiap perlawanan.
“Perlawanan di Hanoi berbeza kerana esok adalah final. Sudah tentu pemain telah mempelajari kesilapan yang dilakukan mereka pada perlawanan sebelum ini,” katanya kepada pemberita dalam sidang media perlawanan akhir di Stadium Nasional Bukit Jalil, hari ini.
Sebelum ini, Malaysia pernah tumpas 0-2 kepada Vietnam dalam aksi peringkat kumpulan di Stadium Nasional My Dinh pada 16 November lalu. - UTUSAN ONLIN
Tiada ulasan:
Catat Ulasan