KUALA LUMPUR 8 Dis. - Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengesahkan 40,000 tiket dalam talian habis dijual hari ini dan baki 40,000 keping lagi akan dijual di kaunter tiket Stadium Nasional Bukit Jalil dan premis terpilih Al-Ikhsan Sports, bermula esok.
Sebanyak 30,000 tiket akan dijual bermula pukul 10 pagi hingga 5 petang dan peminat boleh mendapatkannya di Pintu A dan Pintu E Stadium Nasional Bukit Jalil dan seorang pembeli hanya boleh membeli sebanyak lima tiket sahaja setiap seorang.
Sementara itu, berkenaan kesukaran penyokong-penyokong Harimau Malaya membeli tiket dalam talian, sumber dalaman tickethotline tampil memberi penjelasan.
Jelasnya, situasi itu berlaku kerana permintaan terlalu tinggi berbanding jumlah tiket yang dijual.
“Permintaan tiket final AFF 2018 amat tinggi, tidak sampai dua jam 30,000 tiket telah terjual dan hari ini 10,000 lagi terjual dalam tempoh yang singkat.
FAM
“Saya ada membaca komen-komen kebanyakan penyokong menyuarakan rasa tidak berpuas hati di atas kegagalan membeli tiket dalam talian tetapi perkara itu berlaku kerana lebih 500,000 yang membuka sistem untuk membeli tiket.
“Kami telah memberi yang terbaik dan sentiasa berusaha memperbaiki sistem kami untuk memudahkan urusan pembelian,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Dalam pada itu, seperti dijanjikan oleh FAM, semalam, penyokong Harimau Malaya yang memiliki keratan tiket Separuh Akhir kedua, di Bangkok boleh membeli tiket final ini di kaunter tiket khas di Arena Futsal FAM, Wisma FAM, Kelana Jaya.
Harga tiket ditetapkan pada RM40 bagi tempat duduk terbuka dan RM5 bagi tiket kanak-kanak, sementara satu lagi kategori tiket yang diperkenalkan kali ini ialah tiket RM50 bagi tempat duduk grandstand.- UTUSAN ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan