
Sebahagian penyokong Malaysia menyaksikan perlawanan akhir kedua Piala AFF 2018 yang ditayangkan melalui layar gergasi di Galeri Bandar Wawasan, Nilai. - NSTP/Adzlan Sidek
NILAI: Biarpun hujan, kira-kira 200 penyokong skuad Malaysia tidak melepaskan peluang untuk menyaksikan perlawanan akhir kedua antara Harimau Malaya dan Vietnam malam ini, yang ditayangkan melalui layar gergasi di Galeri Bandar Wawasan, di sini.
Layar gergasi itu disediakan syarikat pemaju perumahan GD Holdings bagi memberi peluang kepada peminat bola sepak yang tidak dapat bersama pasukan di Stadium My Dinh, Hanoi.
Kebanyakan penyokong datang seisi keluarga dengan lengkap berpakaian penyokong Harimau Malaya dan berpayung untuk menyaksikan aksi skuad bimbingan Tan Cheng Hoe itu.
Walaupun sepak mula bermula jam 8.20 malam, penyokong yang datang dari kawasan sekitar dan beberapa daerah termasuk Kuala Lumpur membanjiri kawasan itu seawal jam 7.30 malam.
Walaupun hanya dapat menyaksikan perlawanan melalui layar gergasi, ia tetap meriah apabila peniaga minuman dan makanan ringan tidak melepaskan peluang meletakkan trak makanan di hadapan bangunan utama.
Turut hadir untuk menyaksikan perlawanan bersama penyokong adalah Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Perladangan dan Hal Ehwal Bukan Islam negeri, J Arul Kumar.
Perlawanan akhir kedua yang berlangsung di Vietnam itu adalah aksi penting pasukan Harimau Malaya untuk mencapai misi membawa balik trofi yang dijulang lapan tahun lalu.
Terdahulu, kedua-dua pasukan terikat seri 2-2 dalam pusingan pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil, Selasa lalu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan