Nasib pemain bakal diumumkan selepas aksi menentang Maldives
PARA pemain skuad kebangsaan giat menjalani latihan menjelang pertemuan menentang Maldives pada aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur malam ini.
SKUAD Harimau Malaya menjadikan aksi persahabatan antarabangsa menentang Maldives di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam ini sebagai penanda aras buat barisan pemainnya sebelum mengharungi kejohanan Piala AFF Suzuki yang akan membuka tirai, Khamis depan.
Ketua jurulatih skuad negara, Tan Cheng Hoe percaya pemilihan untuk mengadakan perlawanan menentang Maldives adalah yang terbaik memandangkan pasukan itu baru sahaja menjuarai Piala Suzuki rantau Asia Selatan (SAFF), September lepas.
Katanya, barisan pemain perlu mengambil serius aksi tersebut kerana bukan sahaja bakal menjadi medan ujian terakhir, malah akan menentukan nasib mereka kerana pengumuman senarai 23 pemain akan diumumkan minggu depan.
“Setakat ini, semua pemain cukup positif dan bermotivasi untuk mengharungi perlawanan menentang Maldives yang saya anggap ujian sukar memandangkan status mereka sebagai juara Piala SAFF Suzuki selepas menewaskan India di pentas final.
“Saya percaya ini merupakan medan terbaik buat semua pemain untuk menguji kemampuan memandangkan kita akan memulakan saingan Piala AFF Suzuki tidak lama lagi.
“Saya berharap pemain yang diberikan peluang dapat memberikan aksi terbaik dengan menghadiahkan keputusan positif buat peminat bola sepak negara,” katanya pada sidang akhbar di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur semalam.
Mengulas lanjut, Cheng Hoe mengakui ‘pening kepala’ untuk memilih penyarung jersi No.1 skuad kebangsaan selain mengakui sedikit gusar apabila dua pemain, Akhyar Rashid dan Kenny Pallraj masih belum cergas sepenuhnya.
“Saya masih belum menentukan pemain yang akan mengisi posisi penjaga gol utama esok (malam ini) kerana kami memiliki tiga penjaga gol yang cukup berbakat seperti Farizal (Marlias), Hafizul Hakim (Khairul Nizam) dan Khairul Fahmi (Che Mat),” katanya.
Sebagai rekod, skuad Maldives yang menduduki ranking ke-151 dunia pernah menewaskan Malaysia (ranking ke-169) dalam pertemuan antarabangsa terakhir kedua-dua negara dengan keputusan 0-1 pada tahun 2009.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan