Featured post

📆 Jadual perlawanan CIMB Liga Super dan Liga Premier musim 2020!#LigaMalaysiaKembali#CIMBLigaSuper2020#LigaPremier2020

📆 Jadual perlawanan CIMB Liga Super dan Liga Premier musim 2020! Untuk download,  https:// https:/U/ we.tl/t-O8tyMSagYQ Anda bole...

Ahad, 25 November 2018

Terima kasih ‘ekor’ kerana bantu Malaysia tewaskan Myanmar!


Kuasa ngauman Harimau Malaya.
Pagi ini pastinya seluruh Malaysia bangun dengan muka penuh senyuman selepas tidur dengan lena. Satu kemenangan yang cukup indah berjaya dicapai pada malam tadi hasil kombinasi pasukan yang beraksi dengan mantap dan penyokong yang memberi 200% sokongan.
Ketua jurulatih Myanmar, Antoine Hey sebelum perlawanan ada berkata bahawa dia tidak gentar dengan lautan penyokong yang akan membanjiri stadium. Selepas perlawanan, dia terpaksa menelan kata-katanya apabila dia mengakui bahawa ada beberapa pemainnya yang gugup selepas merasai sendiri atmosfera luar biasa di gelanggang Harimau Malaya.
Sorakan berterusan gabungan penyokong dan Harimau Malaya seakan-akan memberi tenaga tambahan buat semua pemain. Kesemua pemain beraksi bagaikan mempunyai dua jantung. Sedikit pun mereka tidak merasa tekanan. Kebiasaannya dalam situasi terhimpit wajib menang, pemain boleh merasa tertekan, tetapi tidak buat Malaysia pada malam tadi. Mereka bermain dengan cukup luar biasa. Mungkin buat pertama kali setelah sekian lama, kita melihat pasukan Malaysia beraksi dengan cantik dan menguasai permainan.
Biarpun begitu, masih ada perkara yang boleh diperbaiki terutamanya dari penyokong sendiri. Dari segi kebersihan dan keselamatan masih banyak yang perlu kita perbetulkan. Ramai masih membuang sampah merata-rata. Selepas perlawanan banyak sampah yang ditinggalkan di bawah kerusi biarpun banyak tong sampah yang sudah disediakan oleh pihak Perbadanan Stadium.
Selain itu, ramai penyokong yang memilih untuk duduk di tangga terutamanya di separuh masa kedua kerana malas untuk kembali ke tempat duduk masing-masing selepas membeli makanan. Ada satu insiden apabila seorang penyokong tiba-tiba pengsan semalam dan sukar untuk mengangkatnya keluar kerana ramai yang memenuhi kawasan tangga. Bayangkan kalau berlaku kemalangan yang lebih teruk dan jalan keluar tersekat kerana sikap pentingkan diri sendiri sesetengah pihak.

Kita sudah mara ke separuh akhir dengan kemungkinan besar kita akan beraksi di Stadium Nasional Bukit Jalil lagi pada 1 Disember nanti. Sekali lagi ekor Harimau Malaya perlu hadir memberi sokongan padu kepada pasukan kesayangan kita. Cuma kali ini, semoga kita akan memberi sokongan lebih padu, juga dengan sikap yang lebih baik.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan