Featured post

📆 Jadual perlawanan CIMB Liga Super dan Liga Premier musim 2020!#LigaMalaysiaKembali#CIMBLigaSuper2020#LigaPremier2020

📆 Jadual perlawanan CIMB Liga Super dan Liga Premier musim 2020! Untuk download,  https:// https:/U/ we.tl/t-O8tyMSagYQ Anda bole...

Ahad, 25 November 2018

Piala AFF Suzuki 2018 : Safawi Rasid Tidak Risau Kemarau Gol

Penyerang muda Harimau Malaya, Muhammad Safawi Rasid tidak risau akan prestasinya biarpun masih belum berjaya mencipta nama sebagai penjaring pada kempen Piala AFF Suzuki 2018.

Pada aksi terakhir Kumpulan A menentang Myanmar semalam, tonggak Johor Darul Ta’zim (JDT) itu mempunyai peluang terbaik menamatkan kemarau gol dalam tiga perlawanan terdahulu, namun situasi satu lawan satu berdepan penjaga gol Myanmar pada minit ke-81 gagal disudahkan dengan baik.


Bagi Muhammad Safawi, menjaringkan gol merupakan satu bonus dalam perlawanan dan apa yang penting adalah sumbangannya dalam membantu pasukan meraih kemenangan.

“Saya berpuas hati dengan perlawanan ini walaupun saya tidak menjaringkan gol kerana malam ini kita bermain sebagai satu pasukan yang membantu antara satu sama lain untuk mencari tiga mata dan ke separuh akhir.

"Soal adakah saya tertekan untuk meledak gol itu tidak ada. Peluang yang saya miliki itu mungkin saya sedikit terburu-buru kerana saya tahu ada pertahanan lawan di belakang,” katanya kepada pemberita selepas tamat perlawanan semalam.

Kemenangan 3-0 ke atas Myanmar membolehkan skuad kendalian Ketua Jurulatih, Tan Cheng Hoe itu mara ke peringkat separuh akhir selaku naib juara kumpulan di belakang juara, Vietnam.

Sementara itu, mengulas mengenai aksi semalam, Muhammad Safawi berkata nilai persefahaman yang tinggi ditampilkan pasukan di atas padang berbanding tiga perlawanan sebelum ini menjadi faktor kejayaan menumpaskan Myanmar.

“Tiga perlawanan sebelum ini pasukan dikritik dan hari ini Alhamdulillah kami bermain dengan baik mungkin kerana sudah semakin serasi. Momentum ini akan diteruskan menjelang aksi separuh akhir,” katanya.

Menanti Malaysia di separuh akhir adalah antara tiga pasukan teratas Kumpulan B iaitu Thailand, Filipina dan Singapura yang akan menamatkan aksi terakhir kumpulan malam ini.

Dalam pada itu, beliau berkata sokongan padu lebih 80,000 penyokong yang turun membanjiri Stadium Nasional Bukit Jalil turut memainkan peranan dalam kejayaan semalam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan