Piala AFF Suzuki 2018 : Harimau Malaya Baham Myanmar Tiga Gol Tanpa Balas
Lebih 80,000 penyokong yang hadir membanjiri Stadium Nasional Bukit Jalil pada perlawanan terakhir peringkat Kumpulan A Piala AFF Suzuki 2018 diantara Malaysia dan Myanmar yang menyaksikan pasukan negara menewaskan Myanmar, 3-0, sekaligus menempah tiket ke peringkat seterusnya.
Malaysia membuat dua pertukaran pemain bagi mengantikan pemain yang bermain pada perlawanan dengan Vietnam yang lepas, Tan Cheng Hoe memasukkan kembali Zaquan Adha Abdul Razak sebagai penyerang tunggal, manakala pada bahagian penjaga gawang, Farizal Marlias disenaraikan sebagai penjaga gol menggantikan Khairul Fahmi Che Mat. Manakala Myanmar tidak membuat sebarang pertukaran dan menurunkan kesebelasan utama yang seri dengan Vietnam tempoh hari.
Malaysia yang turun dengan tekanan apabila perlu menang pada perlawanan tersebut memulakan permainan dengan bola banyak berlegar dikawasan sendiri manakala Myanmar yang menduduki tempat kedua Kumpulan A hanya perlu seri pada perlawanan ini dilihat banyak bertahan dikawasan sendiri.
Harimau Malaya hampir membuka jaringan apabila bola lorongan Safawi Rasid pada minit ke-15 menemui Zaquan Adha didalam kotak penalti, tetapi berjaya dibawa keluar oleh pemain pertahanan Myanmar, M.Zaw.
Malaysia yang terus mengasak kubu lawan akhirnya berjaya mendapatkan gol pembukaan pada minit ke-26 melalui Norshahrul Idlan Talaha apabila cubaan Mohamadou Sumareh terkena palang. Ini menjadikan gol yang keempat buat Norshahrul sepanjang kempen ini.
Pada minit ke-45, Zaquan Adha Abdul Radzak menambah derita Myanmar apabila berjaya menjaringkan penalti setelah Safawi Rasid dijatuhkan didalam kotak penalti. Keputusan 2-0 kekal sehingga tamat separuh masa pertama.
Pada separuh masa kedua, kedua-dua pasukan dilihat mengasak ke kubu lawan masing-masing. Dengan Myanmar hampir menjaringkan gol melalui Aung Thu pada minit ke-60 tetapi berjaya ditahan oleh Farizal Marlias.
Malaysia yang dijangka akan menang dengan dua jaringan menambah gol ketiga pada minit-minit akhir perlawanan menerusi Zaquan Adha apabila kesilapan pertahan Myanmar membuang bola dan terkena Zaquan Adha untuk jaringan ketiga beliau sepanjang perlawanan.
Lawan Harimau Malaya pada peringkat kalah mati nanti akan diketahui esok apabila Thailand melayan kunjungan Singapura di Stadium Rajamangla manakala Filipina akan bertemu Indonesia di Stadium Gelora Bung Karno.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan