Kevin berkata, memang menjadi tanggungjawab MFL menganjurkan pertandingan di peringkat Liga Malaysia. Gambar fail
PETALING JAYA - Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) sedia mengambil alih tugas penganjuran Piala FAM, sekiranya khidmat mereka diperlukan, kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Kevin Ramalingam.
Beliau berkata, memang menjadi tanggungjawab MFL menganjurkan pertandingan di peringkat Liga Malaysia (Liga-M), jadi tidak menjadi masalah untuk pihaknya mengambil alih penganjuran liga divisyen ketiga itu daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
"Tetapi buat masa ini cuma khabar angin, tiada apa yang pasti, saya rasa dalam beberapa minggu yang akan datang ini, kita akan dapat kepastian. Sebenarnya kita akan bincangkan pada mesyuarat mingguan jika ada apa-apa khabar angin atau berita melibatkan MFL.
"Perkara ini sudah timbul, pengurusan dan sekretariat MFL sudah pun berbincang bersama adakah kita punya sumber dari segi kakitangan, masa dan sebagainya jika diminta (untuk menganjurkan)," katanya ketika ditemui pemberita selepas pra-pelancaran World Football Summit Asia (WFSA) di sini hari ini.
Kevin diminta mengulas mengenai spekulasi bahawa MFL bakal mengambil alih Piala FAM berikutan hanya enam pasukan sahaja yang mengesahkan penyertaan untuk liga semi-profesional itu untuk musim 2019 berbanding 12 pasukan pada musim ini. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan